Memaparkan catatan dengan label Bicara Ilmiah : Lagu Puisi Jawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Ilmiah : Lagu Puisi Jawa. Papar semua catatan

Ahad, 15 Januari 2012

Lagu Puisi Jawa: Definisi

Biasanya puisi difahamkan sebagai suatu bentuk pengucapan yang istimewa susunan dan penghayatannya. Ia merupakan hasil seni sastera yang digubah dengan bahasa yang berbait-bait, punyai bentuk persajakan dan berirama (Sabaruddin Ahmad, 1960).

Ensiklopedia Indonesia mendefinisikan lagu sebagai suatu kesatuan muzik yang terdiri atas pelbagai nada yang disusun berturut-turut, setiap lagu ditentukan oleh panjang pendek dan tinggi rendahnya nada tersebut masing-masing, seterusnya iramanya memberi corak tertentu kepada sesuatu lagu. Puisi dikatakan berasal dari bahasa Yunani iaitu 'poie'sis'.

Pengertian puisi turut disamakan sebagai karangan berangkap yang bermaksud karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan atau sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang karangan demikian ini disebut 'puisi' (Za'ba.1965)

Gabungan antara kedua-dua definisi di atas mengenai lagu dan puisi menghasilkan adanya irama dalam puisi yang dibentuk oleh melodi dan metrum. Melodi ialah pergantian alun suara yang bertinggi rendah serta cepat lambat dan metrum ialah pergantian alun suara yang keras dan lembut (Sabaruddin Ahmad, 1960). Kesan bahasa puisi yang baik bukan sahaja dinikmati daripada pengucapan bunyi atau timbangan kadesa (cadensa) atau irama yang didengar, tetapi juga daripada gambaran yang dapat dibayangkan dalam akal fikiran kita (Mohd. Taib Osman, 1975).

Lagu puisi Jawa dalam masyarakat Jawa merupakan hasil budaya atau 'folkculture' yang dipersembahkan, disampaikan dan disebarkan dalam bentuk lisan, 'folklore.'

Ralph Linton menerangkan tentang konsep budaya yang ditulis oleh Carol R. Ember dan Melvin Ember dalam bukunya yang bertajuk Cultural Antropology bahawa:

Culture refers to the total way of life pf any society, not simply to those parts of this way which the society regards as higher or more diserable. Thus culture, when applied to our own way of life, has nothing to do with playing the piano or reading Browning. For the sosial scientish such activityes are simply elements within the totaly of our culture.

Setiap kelompok masyarakat mempunyai budayanya yang tersendiri. S. F. Nadel menjelaskan bahawa, a society is composed of people, the way they behave is their culture.

Hampir semua nyanyian daerah atau senandung rakyat, nyanyian-nyanyian yang mengiringi tarian, ungkapan-ungkapan dalam istiadat-istiadat sosial dan keagamaan, zikir yang dilagukan atau yang mengiringi perlakuan yang bersifat magis, dipersembahkan dan diabadikan dalam semua bentuk puisi. Biasanya puisi-puisi tradisi itu dapat dikelaskan dalam berbagai golongan termasuk ritual, lirik dan naratif.

Lagu Puisi Jawa yang dibincangkan di sini bererti puisi yang dilagukan atau ditembangkan. Puisi-puisi yang ditembangkan seperti dalam perwayangan selalunya diiringi dengan muzik atau alat bunyi-bunyian seperti bonang, gendang, gong, gongso, gamelan dan kompang (Samuri Hj. Adnan, 1990). Alat-alat muzik yang digunakan meliputi bunyi-bunyian yang dipukul, digesek dan ditiup seperti beduk, bende, beri, bonang, demong, gambang, ketok, gendang, gendir, gung, kepiang, kempul, kenong, keromong, kecer, ketipang, kecerek, rebab,saron, sekati, selentem, selompret, serunai, suling, celempung, celereng, cente pelok dan cente salendero dan juga serunen prajurit (Sutan Mohammd Zain).

 Drs Soesatyo Darnawi dalam buku karangannya, Pengantar Puisi Jawa membahagikan puisi Jawa kepada 11 jenis iaitu:

1. Tembang
Tembang atau sekar merupakan puisi Jawa utama. tembang terbahagi kepada tiga:
 i- Tembang macapat atau tembang cilik
ii- Tembang tengahan atau tembang dagelan
iii- Tembang gede atau kawi

2. Sajak Jawa
Mengarang sajak Jawa tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

3. Parikan
Parikan berasal dari perkataan 'rik' atau 'larik' yang bererti baris, menderetkan. Ia merupakan pantun dalam kesusasteraan Indonesia. Parikan telah tersebar sejak sekian lama digunakan untuk melukiskan perasaan asmara, lelucon dan sindiran serta lain-lain. Biasanya ia terdiri daripada dua, empat, enam atau lapan baris. Parikan juga disebut sebagai 'sampiran.'
Contoh parikan yang terdiri dari empat baris ialah:
    Wedang bubuk,
    Gula Jawa,
    Aja ngamuk,
    Enggal tuwa

Ertinya:
    Minum kopi,
    Gula Jawa,
    Jangan Marah
    Lekas tua.

4. Wangsalan
Wangsalan bermakna teka-teki atau dalam istilah Melayu ialah pantun teka-teki. Ia juga dikenali sebagai pengasah otak atau kiliran budi.

5. Prenesan
Prenesan dalam bahasa Jawa bermaksud melukiskan puji sanjung atau kekaguman kepada kecantikan, kebagusan, kehalusan budi pekerti, keindahan,kepahlawanan dan segala keindahan hidup di dunia ini.

6. Guritan
Guritan dapat disamakan dan tidak ubah seperti syair. Biasanya guritan berisi sindiran kepada masyarakat atau juga mengandungi unsur-unsur pendidikan.

7. Candrasangkala
Sejak zaman dahulu orang-orang Jawa akan membuat tanda atau simbol peringat atau kenangan pada suatu peristiwa penting dengan gambar dan susunan kata-kata tertentu sesuai dengan perkara yang terjadi. Candrasangkala yang memakai gambar disebut Candrasangkala memet dan candrasangkala yang mempergunakan susun kata disebut candrasangkala lamba. Peristiwa-peristiwa  penting yang sering dijadikan peringatan dengan  candrasangkala ialah:
i - Waktu mengarang buku, terdapat dalam baris-baris tembang pada permulaan atau akhir karangan.
ii- Mendirikan bangunan-bangunan penting.
iii- kejadian-kejadian penting di dalam sejarah.
iv. Kelahiran.
v- Perkahwinan.
vi- Kematian

8. Sandiasma
Sandiasma ialah nama pengarang yang disembunyikan dalam kalimat suatu tembang dilakukan dengan tujuan untuk tidak menonjolkan dirinya dalam masyarakat. 
     sandi = rahsia
     asma = nama

9. Panembrama
Panembrama ialah sutu puji doa yang digubah dalam bentuk tembang dan dinyanyikan. Ia bertujuan untuk merayakan suatu perayaan, perkahwinan dan peringatan lain. Biasanya panembrama diiringi dengan muzik gamelan. 

10. Suluk
Biasanya perkataan 'suluk' dihubungkan dengan mencari penyatuan dan hubungan antara manusia dengan Tuhan> Akan tetapi dalam pengertian puisi Jawa, suluk bermaksud perwayangan. Suluk dalam pertunjukan perwayangan ialah nyanyian yang diucapkan oleh dalang atau pengatur laku untuk memberi warna suasana dalam suatu adegan dalam pertunjukan wayang kulit.

11. Singir
Singir berasal dari perkataan 'syair' yang bererti perasaan. Singir merupakan sebuah hasil kesusasteraan jenis puisi dari pondok pesantren. Singir ditulis dalam bentuk kitab bahasa Jawa yang dihiasi dengan kata-kata dan tulisan Arab dan ditulis dalam bentuk huruf Arab-Jawa atau pegon.

Masyarakat Jawa pada zaman dahulu merupakan masyakarat tertutup, anak-anak gadis dan teruna tidak sebebas pergaulan seperti zaman sekarang. Jodoh pertemuan antara teruna dara ialah pada hari pernikahan mereka. Dari situlah timbulnya usikan atau sindiran kepada pengantin. Misalnya:
   Mbok manten lengkak-lengkok,
   Urang-urong mbasuh popok (Puan Seri Banun Binti Mansur)
Maksudnya:
   Pengantin perempuan lenggang-lenggok,
   Akhirnya kena basuh lampin.

Biasanya lagu-lagu puisi Jawa dinyanyikan selepas mengaji al-Quran (Haji Ansor Haji Ahmad). Tembang tersebut dicipta agar anak-anak yang mengaji tidak akan bosan dengan pengajian mereka dan mengharapkan semoga esok arau lusa mereka akan datang semula menyambung pengajian al-Quran. Dongengan serta cerita-cerita lama juga turut diperdengarkan sebagai nasihat dan pengajaran untuk mereka.

Biasanya tembangan untuk mendodoikan anak kecil berupa parikan-parikan nasihat dan sekiranya ibu atau bapa tersebut biasa mendengar lagu-lagu dalam wayang kulit, mereka akan mendodoi anak mereka dengan lagu-lagu sedemikian.

Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik : Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91

bersambung/.....

Sabtu, 14 Januari 2012

Lagu Puisi Jawa: Pengenalan

Sebahagian besar pustaka kesusasteraan Jawa ditulis dalam bentuk puisi, hampir dapat dikatakan bahawa prosa (ganjaran Jawa), jarang digubah orang. Akan tetapi sejarah kesusasteraan Jawa terus berkembang, kehidupan kebudayaan pun terus pula berkembang (Soesatyo Darnawi: 1964).

Perkataan 'Jawa' biasanya dikaitkan dengan Indonesia, kerana dari Pulau Jawa itulah asal muasal orang-orang jawa yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan mereka pada abad ke 19 merupakan satu faktor sejarah yang membuktikan berkembangnya keturunan Jawa di Semenanjung Tanah Melayu terutama sekali di selangor, Johor, Perak dan beberapa daerah kecil di negeri-negeri Melayu pantai barat.

Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja untuk bermastautin sebagai satu komuniti atau rumpun Jawa melalui bahasa pertuturan, malahan adat istiadat dan cara hidup mereka turut diamalkan di negara ini.

Di Malaysia, hampir tidak ada perbicaraan ilmiah, saintifik dan menyeluruh terhadap puisi Jawa. Kemungkinan besar bidang ini tidak begitu menarik minat pengkaji puisi atau mungkin minat mereka lebih tertumpu kepada pengkajian puisi Melayu tradisional atau puisi yang sezaman. Di samping itu faktor rumpun Melayu yang merupakan masyarakat terbesar di negara ini boleh dijadikan alasan mengapa lagu puisi Jawa tidak mendapat tempat di hati mereka.
Puisi lama ialah sebahagian daripada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama ( Sutan Takdir Alisjahbana: 1971). Justeru itu alangkah tepat dan cocoknya andai penulis menulis begini:
'Lagu puisi Jawa adalah sebahagian daripada kebudayaan Jawa yang dipancarkan oleh masyarakat Jawa.'

Antara lain motif kajian Lagu puisi Jawa ini ialah untuk mencungkil dan memelihara serta mencatat budaya lisan orang-orang Jawa yang kurang diambil perhatian oleh para pengkaji dan peminat serta pencinta seni.

Alangkah sayang dan ruginya seandainya apa-apa bentuk budaya lisan Jawa samada puisi,dongengan yang berunsur nasihat, lelucon, keagamaan dan seumpamanya terbiar dan lama-kelamaan hilang pupus dan lenyap tanpa catatan dan pembelaan serta inisiatif pihak-pihak tertentu untuk dikoleksikan dalam sebuah hasil karangan kenang-kenangan. Akan hilang lenyaplah budaya berharga ini  kerana zaman tidak memandang lagibke arah rumpun bangsa yang membawa kenangan abadi dari Tanah Jawa.

Justeru itu kita tidak harus membiarkan puisi-puisi Jawa ini mati terkubur bersama jenazah generasi tua, akan tetapi kalau pun tidak diamalkan lagi biarlah ia menjadi kenangan atau memori untuk anak cucu serta keturunan mereka, di samping memperkayakan lagi harta puisi Melayu tradisional di Malaysia. Sewajarnya pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor Darul Ehsan mengambil inisiatif untuk membukukan hasil budaya lisan dalam apa jua bentuk samada daripada karya lisan masyarakat Melayu, Jawa atau Banjar kerana kesemua rumpun  ini berada di bawah satu bumbung bangsa di kepulauan Nusantara.

Orang yang menutup telinga terhadap puisi akan terpencil dari suatu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian manusia, pandangan perseorangan, sensitiviti yang menonjol; oleh itu upaya yang dituntut untuk memahami serta menghayati puisi menjadi sama pentingnya dengan upaya  yang dituntut oleh setiap bentuk kehidupan manusiawi lainnya (Henry Guntur Tarigan: 1984).

Puisi itu mengemukakan hidup dalam kehidupan (Abdul Rahman Kaeh: 1970). Beliau turut menyorot tanggapan Herman Hess bahawa: 'Dan tiap-tiap orang yang mendengar merasa dengan kemanisannya atau kesakitannya terhadap yang mereka kasihi atau mereka benci. Anak-anak berfikir tentang permainan mereka,  para remaja berfikir tentang kekasih mereka dan orang-orang tua berfikir tentang kematian mereka.'

Dipetik daripada:
Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik: Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91


bersambung /....