Selasa, 7 Jun 2011

Taman Sari

Huh.... lama sangat tak masuk library ni... dah bersawang penuh he he he... masih lagi cerita tentang Kraton Yogyakarta. Sebaik sahaja tamat lawatan di sekitar kraton, kami dibawa pula ke Taman Sari yang terletak di sebelah barat daya Kraton. Taman Sari ini dibina pada tahun 1758 Masehi dan selain tempat rekreasi keluarga diraja, taman ini juga berfungsi sebagai benteng pertahanan. Dikatakan tempoh pembinaannya mengambil masa kira-kira 4 tahun mulai 1687 - 1691 Tahun Jawa.


Ini ialah Gapura / Pintu Gerbang Taman Sari.



...dikelilingi pepohon nan menghijau, pelbagai jenis bunga-bungaan wangi seperti kenanga, cempaka, melati dan tanjung.


Terdapat pelbagai ciri dan unsur binaan seperti Jawa asli, Hindu, Buddha, Islam, Eropah dan China. Menurut penilaiannya, struktur bangunan ini diperbuat daripada bata dan simen serta campuran lepanya daripada air kelapa dan putih telur. Sebahagian bangunan di Taman Sari hanya tinggal reruntuhan disebabkan gempa bumi, perang dan hujan serta panas matahari, dan juga akar yang tumbuh di dinding bangunan.

Siapakah yang terlibat dalam pembinaan bangunan ini? Mereka ialah Pangeran Notokusumo (Paku Alam I), Tumenggung Mangundipuro, Prawirosetika (Bupati Madiun) serta orang Portugis (Demang Tegis).



Kami tinggalkan Taman Sari dengan seribu satu bayangan silam.... bagaimana rasanya menjadi puteri kraton...., membayangkan suasana tiga tempat yang berbeza iaitu Umbul Sari, yang terletak di selatan, sebuah kolam mandi yang khusus digunakan oleh sultan dan permaisurinya. Umbul Binangun pula yang terletak di tengah, diperbuat khas untuk permaisuri dan selir-selir sultan. Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, ketika para selir sedang mandi, sultan dan memerhatikan dari menara bangunan dan akan mencampakkan sekuntum bunga. Mana-mana selir yang berjaya mendapatkan bunga tersebut akan berpeluang untuk beradu bersama baginda pada malam tersebut. Manakala Umbul Muncar yang terletak di sebelah utara, disediakan khas untuk putera-puteri dan sentana sultan. Itu cerita dulu..... sekarang Taman Sari sudah tidak digunakan sebagai tempat permandian diraja.

Ahad, 1 Mei 2011

Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat

Cuaca agak panas setibanya kami di pintu masuk Kraton Yogyakarta. Para pengunjung dikehendaki memakai pakaian yang kemas dan sopan, dan oleh kerana Veera memakai baju tidak berlengan, petugas di situ meminjamkan Veera kemeja lengan panjang.  Datanglah beramai-ramai penjual barang kraftangan ke arah kami, memujuk dan menawarkan harga terendah tapi kami meneruskan perjalanan maju ke hadapan. Ada pula seorang jurufoto merakam gambar kami tak henti-henti, dan terasa pula macam bintang filem ......
Unsur Hindu dan adat budaya Jawa terdapat di mana-mana walaupun hakikatnya agama yang dianuti ialah agama Islam. Kraton Yogyakarta dibina oleh Sri Sultan Haengku Buwono I pada tahun 175 di wilayah Hutan Beringan. Yogya bermaksud baik dan Karta bermaksud makmur. Walaupun begitu, ada yang mengatakan Yogyakarta berasal dari kata dasar Ayu + Bagya + Karta menjadi Ngayokyakarta. Wilayah kraton ini terbentang di antara Tugu (bahagian utara) dan Krapyak (bahagian selatan) antara Sungai Code di sebelah timur dan Sungai Winongo di sebelah barat dan juga antara Gunung Merapi dengan Laut Selatan. Gempa bumi yang berlaku pada tahun 1867 menyebabkan sebahagian bangunan tersebut mengalami kerosakan teruk. Setelah dibaikpulih oleh Sri Sultan Hamengku Buwono VII pada tahun 1889, hasilnya berlaku perubahan dari segi struktur bangunan seperti yang dapat dilihat hari ini.

Di depan pintu masuk Kraton Yogyakarta. Di hujung sekali ialah Pak Agung, pemandu pelancong kami sepanjang hari ini. Setelah membeli tiket, kami melangkah masuk ke bahagian Kraton. Ha... apa itu kraton? Kraton ialah tempat bersemayam ratu-ratu, berasal dari perkataan ka + ratu + an = Kraton. Ada juga yang menyebut Kedhaton,  ka + dhatu + an yang bererti tempat tinggal dhatu @ raja. Kraton ialah sebuah istana, tapi istana bukanlah Kraton... apa tu? Pening pulak kepala memikirkannya. Kraton ialah sebuah istana yang mengandungi erti keagamaan, falsafah, dan kebudayaan. Oleh itu, berdasarkan pengertian tersebut, Kraton Yogyakarta bukanlah sebagaimana istana lain yang kita temui atau lawati kerana di sini semuanya mempunyai falsafah yang tersirat di sebalik apa yang dibangunkan dalam bentuk fiizikal misalnya, struktur bangunan, kedudukan bangsal-bangsal, ukiran dan hiasan, serta pepohonan yang ditanam... semuanya ada erti tersendiri.

Regol Danapratapa ialah pintu gerbang yang mengubungkan antara halaman Srimanganti dengan halaman Bangsal Kencana.



Di atas Regol Danapratapa tertulis candrasengkala: Kaluwihaning Yaksa Salira Aji yang bermaksud tahun 1851 Jawa juga suryasengkala yang berbunyi: Jagad Ingasta neng Wiwara Dhatulaya yang bermaksud tahun 1921 Masehi. Ini dikatakan sebagai tahun membaikpulih pintu gerbang tersebut. terdapat dua buah patung raksaksa Dwarapala (sepasang) di kiri kanan pintu gerbang ini. Di sebelah kanan ialah Patung Cingkarabala dan di sebelah kiri ialah Patung Balaupata.



Kami dibawa ke bahagian dalam kawasan kraton yang dianggarkan seluar 14,000 meter persegi. Pak Agung menerangkan bahawa terdapat sejumlah 64 pohon beringin ditanam yang sebagai simbol usia kewafatan Nabi Muhamad s.a.w mengikut perkiraan tahun Jawa. Kami sempat melawat Bangsal Pagelaran, Bangsal Pamadengan, Bangsal Pengapit, Bangsal Pangrawit dan bangsal Pacikeran. Tidak ketinggalan Bangsal Sitihinggil, tempat penobatan atau pelantikan Raja-raja Kesultanan Yogyakarta.




Ibu ini yang membawa kami mengelilingi kraton sambil memberi penerangan kepada kami.






Suasana di halaman  kraton.



Tiada sehelai rumput yang ditanam di halaman istana, melainkan debu pasir yang memang didatangkan khas dari  Gunung Merapi.



Pekerja istana sedang menyiram bunga... tanpa memakai kasut. Lebih 500 pekerja istana di sini tetapi semuanya masih mengikut amalan tradisi.... berkaki ayam.



Lihatlah cara mereka berpakaian.... pakaian tradisi pekerja kraton.



Apa agaknya tugas mereka di sini?  Teringat kisah-kisah istana zaman purbakala......



Tempat usungan diraja..... juga sebagai tempat perarakan pengantin diraja, diusung oleh 30 orang.








Oleh kerana terlalu banyak gambar yang diambil, dan Amie pun sukar untuk memilih mana satu yang patut dimasukkan dalam blog, cukuplah setakat gambar dan info di atas. Lagi pun... ada yang tak berapa menyenangkan hati kami sebab sebaik sahaja kaki melangkah keluar kawasan kraton, gambar-gambar sudah terpampang di bawah pokok... jurufoto tadi rupanya sudah siapkan semuanya... terpaksalah kami beli dengan harga Rp35,000 untuk 2 keping..., terfikir juga kalau kami tak beli gambar sendiri...apa akan jadi???? Huh.....



Jumaat, 22 April 2011

Ary's Hotel is a Dream That Comes True

Terkebil-kebil kelopak mata bila memasuki sebuah kawasan ..... yang dipenuhi oleh tumbuhan rimbun di bahagian pintu gerbang. Suasananya nampak sungguh mengasyikkan dan ia seolah-olah sebuah dunia yang berbeza sebelum ini... Inilah Wisma Ary atau Ary's Hotel tempat peninapan kami di Yogyakarta untuk selama 2 hari. Memasuki ruangannya seakan-akan berada di rumah impian... binaan dari susunan batu bata,  disambut dengan jambangan bunga mawar merah dan mawar putih disatukan dengan bunga sedap malam (sundal malam)....


Rupanya malam masih muda.... seawal jam setengah sepuluh (menurut kiraan tempatan bermaksud pukul 9.30).



Sementara urusan check - in diselesaikan oleh Pak Dedi, Amie sempat meninjau-ninjau beberapa bahagian yang menarik di sekitar ruang menunggu berhampiran kaunter.



..... antara hiasan dalaman yang menarik.





Akhirnya kami dapat bilik masing-masing dan sebaik saja tiba ke tempat yan dituju... ada sesuatu sedang menunggu di luar pintu.... termos berisi air panas, satu jug air sejuk, serta teh dan kopi.

...dan ada pula tempat pembaringan di sebelahnya, seperti di bawah ini....



Ini bukan gaya hotel yang biasa kami masuki sebelum ini, kerana katil di dalam bilik pun sangat berbeza....



....malam ini aku ingin bermimpi jadi puteri keraton... esok kami dijadualkan ke Keraton (Istana Sultan).



... alamak dalam bilik air pun penuh dengan lukisan dan pelbagai warna... tak berani mandi lama2 di sini....... rasa lain macam je...eh, tak mau mimpi jadi puteri keratonlah.... Malam itu Amie telan 2 biji panadol dan terus rebah.....rasanya baru lelapkan mata, tiba-tiba telinga disapa dengan sayup-sayup azan Subuh.... bangunlah Amie... solat. Amie dah siap, tapi Zana dengan Dila belum lagi. Amie keluar dan minum secawan teh di luar pintu sambil menikmati pemandangan di waktu pagi. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar kokokan ayam. Ada bunyi siulan burung. Di hadapan tempat duduk Amie penuh dengan pelbagai tanaman hiasan. Beberapa minit duduk di situ Amie sedari nampaknya, Jai, Nonie dan Gee serta Veera belum keluar dari bilik masing-masing. Amie ambil kesempatan ini untuk meninjai kawasan persekitaran. Wah! Rupanya... tempat penginapan kami berkonsepkan Bali. Tak percaya? Mari ikut Amie ......



.... ada patung (warna hitam) di bawah pokok.





.... macam-macam pokok ada. Pokok limau, pokok keladi, pokok kelapa.....







Baru teringat untuk ambil gambar bas pariwisata....yang kami naiki.



Sambil meninjau suasana di jalan raya yang sempit dari pintu masuk tempat penginapan, Amie terpandang sebahagian bangunan masjid... mungkin dari sinilah azan Subuh yang mengejutkan Amie pagi tadi. Pagi ini cuca cerah. Amie melihat beberapa orang penjual roti menjaja bahan niaga masing-masing dengan menaiki basikal sambil membunyikan honk. Begitu juga dengan penjual susu dan penjual suratkhabar,masing-masing dengan tugasnya meletakkan suratkhabar dan susu dari rumah-ke rumah. Sekali pandang, suasa di sekitar boleh menceritakan keadaan rutin yang berlaku di sini dalam menghadapi hidup harian mereka.Sempat juga Amie rakamkan penarik beca sedang menanti pelanggan di hadapan pintu masuk hotel ini.





Jalan raya yang sempit.....



Kawan-kawan sudah datang. Sementara menunggu Veera muncul, Nano & Nonie sempat posing....



Dah 2-3 kali ketuk pintu, rupanya Veera tak bangun lagi..... terus posing...



Tidak banyak menu sarapan yang boleh dipilih. Hanya mee goreng, mee sup, telur dadar, buah betik dan roti. Amie pesan mee sup... yang dihidang ialah maggie, sementara yang memesan mee goreng, maggie juga yang dibawa... sambil makan, sempat juga Amie belek-belek novel Arok Dedes karya Pramoedya Ananta Toer.





Kami tinggalkan tempat penginapan yang nyaman dan mendamaikan ini untuk mengunjungi Keraton  Ngayogyakarta Hadiningrat.



Nasi Gudeg di Jalan Malioboro, Yogyakarta

Macam-macamlah yang kami temui dan pelajari sepanjang perjalanan pada petang 14 Mac 2011. Antaranya menterjemah maksud papan tanda yang berbunyi: Hati-hati Daerah Rawan Kecelakaan (Kawasan Kemalangan), Tikungan Tajam (Selekoh Merbahaya), Kurangi Kecepatan, Sabok Pengaman dan sebagainya. Kedai gunting rambut biasanya memaparkan papan tanda: Pangkes Rambut atau Cat Rambut. Oleh kerana selalu sangat melihat kolamikan di tepi rumah, kami tanya Pak Dedi... apa jenis ikan yang dipelihara. Ikan mas....ikan emas (kita pelihara untuk hiasan tapi mereka makan), ikan gurame (ikan kaloi yang Amie cerita dalam segmen Dapur Sangkuriang tu),  dan ikan talapia. Amie tak sempat ambil gambar kereta kuda, dan juga petani yang sedang menampi padi, bukan apa... bateri kamera dah habis! Kawan-kawan yang lain pun mula kehabisan bateri...kena jimat dong... rakam gambar yang penting & menarik saja. Sebenarnya banyak yang menarik...misalnya, bentuk tong gas yang kecil (kami gelar gas kontot), hanya seberat 3 kg sahaja. Menurut Pak Dedi, pengguna hanya mampu membeli setakat itu sahaja....


Pemandangan sawah padi di waktu senja........ hening sekali. Kadang-kadang hati rasa sayu....tak tahu kenapa, bila melihat tunggul-tunggul padi dibakar, .... apalagi melihat tanaman padi sehingga menyentuh dinding rumah. Nampaknya penduduk di sini sangat memaksimumkan pengunaan tanah.... dan ketika malam menjelang, hanya sebiji lampu terpasang dengan cahaya malap di setiap rumah... sangat berhemat....



Walaupun banyak papan tanda amaran: Dilarang Saling Mendahului, nampaknya bas yang kami naiki tetap mendahului yang lain walaupun sebenarnya jalan sempit..... jalan di sini tidak seluas ukuran di tempat kita. Menurut Pak Dedi, jangka masa perjalanan 10 jam akan menjadi 12 jam sekiranya tidak memandu laju. Sudahlah duduk di belakang dekat tayar, melambung-lambunglah badan dibuatnya. Pejam celik pejam celik, hari hampir menjelang malam. Sejak berhenti di Purwokerto petang tadi kerana menyelesaikan qada' hajat, bas terus  berlari kencang meninggalkan Sungai Citandoi, melintasi landasan keretapi,  terlihat keretapi dari Yogyakarta di Kutoarjo namun sempat juga kami melihat gerai-gerai menjual pelbagai makanan di tepi jalan. Antaranya termasuklah Gerai Sate Bebek, Gerai Soto Babat.... Soto Gombong, Wedang Angkring dan entah apa lagi..... dan akhirnya kami sampai ke Jalan Malioboro... sementara Veera asyik menyebut tentang nasi gudeg dan sambal krecek... apa tu?



Susunan motosikal yang begitu banyak di tepi Jalan Malioboro memberi tanda tentu ada sesuatu yang menarik di kawasan ini. Begitu juga dengan beca dan kereta kuda... nantilah kita lihat seterusnya. Yang penting sekarang perut yang kosong perlu diisi terlebih dahulu. Pak Dedi membawa kami ke Lesehan Pojok. Katanya lesehan membawa maksud duduk di atas tikar...maknanya kami duduk atas tikar untuk makan. Menurut Pak Dedi lagi, hidangan makanan di Jawa Tengah berbeza sedikit dengan makanan di Jawa Barat. Kami diperkenalkan dengan nasi gudeg....



Gudeg ialah sayur nangka muda dimasak bersama ramuan tertentu dan rasanya manis. Gudeg dihidangkan bersama nasi, dengan kuah santan yang pekat disebut areh, ayam kampung, sebiji telur ayam , tauhu dan sambal krecek. Katanya inilah makanan istimewa di Yogyakarta kerana lesehan begini terdapat di sepanjang jalan dan dikunjungi orang ramai. Bagaimanapun, Amie tidak dapat menghabiskan kesemua sepinggan nasi gudeg komplit yang dipesan kerana tekak masih terasa perit dan badan mula panas sejuk. Nak demamlah tu....



Telur ayam rebus tersembunyi di dalam lauk yang lain, warnanya telur tu gelap......



Inilah suasana makan malam kami di lesehan Jalan Malioboro.... kami juga dihiburkan oleh pemuzik & penyanyi jalanan. Kesian tengok seorang penyanyi jalanan datang ke tempat kami dan meminta kami sebutkan lagu yang kami mahu.... sayangnya kami pun tak tahu apa lagu yang kami mahu. Dia tahukah nyanyikan lagu M. Nassier, Sudirman atau Amy Search? Akhirnya penyanyi jalanan itu menyanyi sendiri.... lagu apa tu... kawan katan itu lagu ST 12... Jangan Pernah Berubah. Amie tanya Pak Dedi, kena bayar berapa? Pak Dedi kata, nak bagi boleh, tak bagi pun tak mengapa. Kalau nak bagi juga, hulurlah dalam Rp2,000. Bila selesai menyanyi, penyanyi jalanan tadi bertanya lagi... mahu lagu apa buk? Lalu Amie jawab... boleh nyanyi lagu Indonesia Raya? Penyanyi jalanan tadi terdiam seketika dan kemudian menganggukkan kepala... entah betul entah tidak apa yang dinyanyikan tu...he he...



Lepas habis nyanyi Amie hulur Rp2,000 dan penyanyi itu mengucapkan terima kasih, terus bangun  meninggalkan kami. Apa kata Zana... oohhh selagi tak bagi duit dia nyanyi, dah bagi duit dia terus cabut..... di sebelah menyebelah kami ada ramai lagi penyanyi jalanan, siap berkumpulan dengan alat-alat muzuk yang besar2...sesekali memandang pula ke arah kami. Alamak.... mesti lepas ni datang pula menyanyi di tempat kami..., ha cepat sikit makan...



Inilah penyanyi dan pemuzik jalanan secara berkumpulan. Apa pun sebenarnya kami sangat kagum dengan usaha gigih penduduk di sini mencari sesuap nasi. Datang pula pelukis jalanan untuk memotret wajah kami, tapi tiada seorang pun di antara kami yang berminat. Mungkin keletihan lebih 10 jam dalam perjalanan, kami ingin segera berehat. Syurga membeli belah dari pagi hingga larut malam Jalan Malioboro yang dipenuhi pelbagai ragam penghuninya, kami tinggalkan. Apa yang dapat kami saksikan melalui tingkap bas ialah gedung-gedung menjual pakaian terutamanya batik, jualan hasil kraftangan, susunan beca, kereta kuda  dan sebagainya. Bas terus meluncur laju meninggalkan Jalan Malioboro yang dingin, menuju ke Jalan Suryodiningrat.... Ary's Hotel. Oh... tidak sabar rasanya ingin menyirami seluruh tubuh dengan air hangat, solat dan merehatkan diri.

Info:
Jalan Malioboro terletak di antara Tugu hingga Kraton. Ada pendapat yang berbeza mengenai asal usul nama Malioboro. Sesetengah pendapat mengatakan Malioboro berasal dari perkataan Marlbrough, seorang Jenderal Inggeris pada masa pemerintahan Sri Sultan Hamengku Buwono II. Stamford Raffles yang menamakan demikian (Jalan Marlbourgh) sebagai nama jalan di pusat Kota Yogyakarta. Pendapat lain pula mengatakan nama tersebut berkaitan dengan cita-cita Sultan Hamengku Buwono I, yang melihat jalan tersebut sebagai Mulyane Saka Bebara (Mulyabara) yang kemudian disebut sebagai maliyabara atau malioboro yang bermaksud kemuliaan dan kejayaan hidup yang dicapai hasil sikap prihatin.