Khamis, 19 Januari 2012

Art Therapy: Kaedah Penyelidikan

Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Tempat          :     Sanbay Hotel Sandakan
Tarikh           :     1 November 2011
Penceramah  :      Prof. Madya Mohd. Makzan Musa 
                           Jabatan Siswazah Psikologi & Kaunseling
                            Kolej Sastera dan Sains
                            Universiti Utara Malaysia


Kaedah Penyelidikan Art Therapy

Pendekatan penyelidikan dan amalan dalam art therapy secara umumnya unik dengan keragaman saintifik dalam pelbagai kerangka mazhab-mazhab utama dalam bidang psikologi, kaunseling dan psikoterapi. Kaedah art therapy dilakukan secara kualitatif. namun kajian-kajian kualitatif yang menggunakan imej dan visual dipinggirkan (Prosser, 1998 dalam Gilroy, 2006) apa lagi di Malaysia. Ini kerana kajian-kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif lebih tertumpu pada teks. Imej dan visual cuma digunakan sebagai ilustrasi dalam bentuk rajah dan tidak digunakan sebagai satu kaedah penyelidikan sebagai sumber primari data.

Pendekatan kualitatif dalam bidang art therapy antaranya tertumpu kepada kaedah kajian kes. Melalui kajian-kajian kes art therapy, hasil lukisan klien adalah data dan alat yang mana ia turut digunakan dalam sesi psikoterapi dan kaunseling. Penyelidikan kajian yang berorientasikan bahan visual dalam art therapy boleh melangkau dari case based kepada art based (Gilroy, 2006). Penciptaan art dalam bentuk art based menjadi satu kaedah bagi mendapatkan data kajian yang kemudiannya dianalisa bagi mendapatkan kefahaman pengalaman permasalahan isu-isu psikososial klien.

Menerusi pendekatan penggunaan data visual dalam bentuk lukisan Schaverien (1992 &, 1993) dan Gilroy (2006) menegaskan analisis art klien boleh dilakukan menerusi empat kaedah. Pertama, analisis sistematik terhadap tanda, bentuk dan warna. Kedua, perubahan pada imej. Ketiga, rekod sesi terapi dan keempat, perbandingan pengalaman antara klien dengan terapis terhadap art yang dihasilkan dalam sesi psikoterapi dan / atau kaunseling.

Berdasarkan keempat-empat analisis data visual dalam bentuk lukisan dan lakaran Schaverien (1992 & 1993 dalam gilroy (2006) seterusnya mencadangkan lukisan dan lakaran klien dalam sesi art therapy boleh dihimpun dan digunakan dalam bentuk retrospektif. Menerusi kaedah retrospektif ini lukisan-lukisan klien memperlihatkan urutan imej art klien mengenai pergolakan kehidupannya.

Kaedah restrospektif ini menekankan aspek kronologi sebagaimana yang digunakan dalam tradisi bidang sejarah seni yang dikenali sebagai ekphrasis. Menerusi kaedah retrospektif atau ekphrasis, klien lafazkan secara lisan dan membuat tafsiran terhadap imej art yang tidak dapat diketahui oleh orang lain. Ringkasnya, proses ekphrasis ini melibatkan terjemahan dari visual ke lisan klien menerusi imej lukisan bagi mendapatkan kefahaman dunia dalam diri klien (Panofsky, 1972 dalam Gilroy, 2006).

bersambung/.....

Isnin, 16 Januari 2012

Emosi Dalam Empat Bahagian

Jiwa Tersentuh
Tatkala mendekatimu
Seperti mendekati diriku
Terasa bagai sebuah karya yang menarik dan menyeronokkan
Kusedar kini ku tak mahu lagi merantau
Kujuga sedar warna ungu yang membawa perasaan kehilangan
Setiap kali berpaling, ia menyentuh perasaanku
Sentuhan merupakan satu lagi cara menyemai keghairahan
walaupun banyak logamaya bak kisah cinta satu malam
Ada yang mungkin menjadi kenyataan
Cinta seumpama ini turun bak hujan
Hujan yang reda perlahan-lahan
Keseronokan pabila kuyup dan kegahirahannya tak mungkin berkekalan
Bagiku cinta adalah perasaan yang kacau
Ibarat memilih melepaskan rambutmu ke bahu dan mengikatnya
Seperti juga makna kecantikan yang kabur dan boleh berubah
Begitu juga sentimen kekata
Setiap kali terjaga, ku terpegun dengan pemandangan yang berlainan
Akanku terus menurut arus
Walaupun matamu yang jernih lembut tak berawan
Aku masih kebingungan dan tak mampu memahami diriku




Akur
Ada perkara yang tidak ingin kukhabarkan padamu
Tentang kesepian, satu-satunya kehangatan dalam tubuh kalbuku
Seperti kau merahsiakan rindumu kepada seseorang
Ia telah ditakdirkan
Bak hembusan angin dan lambaian dedaun
Bak cinta terpendam, terkadang membahagiakan, terkadang mengecewakan
Tanpa disedari, kita terserempak hanya sekali dan tidak lagi bertemu
Kau takkan memahami
Perasaan ala-kristal ini yang rapuh
Biarlah aku memendamnya
Walaupun tidak kuinginkan
Bagaikan semua dedaun di merata pergunungan menjadi usang dalam sekelip mata
Semua kecantikan dan keharuan
Menjadi saksi kepada perasaan
Hanya kesunyian tidak akan melukakan kawasan orang lain
Di sanubariku ada sebatang sungai mengalir
Kusedari kehidupan yang telah pergi takkan kembali
Bagaimana dapatku suarakan penyesalanku


Perasaan Menakutkan
Mempamerkan kecantikan amat menakuitkan
Dalam jejak-jejak kekaburan
Dalam jarak ini
Aku memandangmu dari tepi jendela, dari kejauhan
Keindahan rahsiaku bagaikan cahaya cermin penuh syahdu
mendedahkan kegahirahan yang jelas atau terselindung
Bagaikan titisan air yang mengalir lesu
Bagaikan kesan riak lemah san jejari tajam
Bayangan lembaga di air
Perubahan warna-warni bebunga dan rumput
Semua ini adalah idaman sang manusia
Mungkin tiada yang layak atau sebaliknya
Kisah yang mudah diramalkan ini adalah satu perkahwinan rahsia
Melayang bagai asap
Menghilang sejurus disentuh
Ketenangan yang tak akan kembali
Hatiku disambar pandangmu
Kutahu pohon saga di luar jendela semakin membesar
Perlahan-lahan merapatkan jarak antara kita
Akur kecantikan mampu menimbulkan rasa takut
akur dalam kehidupa ini tentu ada tersilap.


Tanpa Niat
Awan yang berbeza datang dan pergi saban hari
Memikirkan hal duniawi umpama tulisan tanganku
Setiap ayat dan coretan boleh jadi jelas atau contengan
Dan mudah membocorkan rahsia
Atau mampu juga menyembunyikan segala perasaan tanpa meninggalkan bekas
Tiba-tiba aku didatangi rasa sedih dan takut
Semacam aku tertumpahkan segelas air di atas meja
Kekata di atas kerta tiba-tiba berubah menjadi tangisan
Ia satu penyeksaan zahir dan batin
Sesungguihnya kita semua berada di tanah gersang; tiada haluan
Tanpa menyedari angin gunung mendinginkan kita
Kurasakan mimpi ini adalah harapan yang terakhir
Ibarat sekuntum bunga kuning yang tiada hari esoknya
Di jalanan debu berterbangan, bersatu dan berpisah akan berlalu dan menjadi sejarah
Sukar dibayangkan ketidaktentuan hidup manusia
Umpama hujan lebat tengah malam tiba-tiba mencurah
Barangkali aku hanya mampu menyepi melayani mimpi ini
Memikirkan bentuk awan-gemawan esok hari
Segalanya keimanan dan ketentuan takdir

Emosi Dalam Empat Bahagian (Puisi asli dalam bahasa Mandarin)
oleh Toh Lam Huat,
dipetik daripada Antologi Puisi Malaysia & Singapura:
Dari Jendela Zaman Ini, hal:430
Compile by: Institut Terjemahan Negara Malaysia Kuala Lumpur
National Arts Council Singapore 
2010

Ahad, 15 Januari 2012

Lagu Puisi Jawa: Definisi

Biasanya puisi difahamkan sebagai suatu bentuk pengucapan yang istimewa susunan dan penghayatannya. Ia merupakan hasil seni sastera yang digubah dengan bahasa yang berbait-bait, punyai bentuk persajakan dan berirama (Sabaruddin Ahmad, 1960).

Ensiklopedia Indonesia mendefinisikan lagu sebagai suatu kesatuan muzik yang terdiri atas pelbagai nada yang disusun berturut-turut, setiap lagu ditentukan oleh panjang pendek dan tinggi rendahnya nada tersebut masing-masing, seterusnya iramanya memberi corak tertentu kepada sesuatu lagu. Puisi dikatakan berasal dari bahasa Yunani iaitu 'poie'sis'.

Pengertian puisi turut disamakan sebagai karangan berangkap yang bermaksud karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan atau sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang karangan demikian ini disebut 'puisi' (Za'ba.1965)

Gabungan antara kedua-dua definisi di atas mengenai lagu dan puisi menghasilkan adanya irama dalam puisi yang dibentuk oleh melodi dan metrum. Melodi ialah pergantian alun suara yang bertinggi rendah serta cepat lambat dan metrum ialah pergantian alun suara yang keras dan lembut (Sabaruddin Ahmad, 1960). Kesan bahasa puisi yang baik bukan sahaja dinikmati daripada pengucapan bunyi atau timbangan kadesa (cadensa) atau irama yang didengar, tetapi juga daripada gambaran yang dapat dibayangkan dalam akal fikiran kita (Mohd. Taib Osman, 1975).

Lagu puisi Jawa dalam masyarakat Jawa merupakan hasil budaya atau 'folkculture' yang dipersembahkan, disampaikan dan disebarkan dalam bentuk lisan, 'folklore.'

Ralph Linton menerangkan tentang konsep budaya yang ditulis oleh Carol R. Ember dan Melvin Ember dalam bukunya yang bertajuk Cultural Antropology bahawa:

Culture refers to the total way of life pf any society, not simply to those parts of this way which the society regards as higher or more diserable. Thus culture, when applied to our own way of life, has nothing to do with playing the piano or reading Browning. For the sosial scientish such activityes are simply elements within the totaly of our culture.

Setiap kelompok masyarakat mempunyai budayanya yang tersendiri. S. F. Nadel menjelaskan bahawa, a society is composed of people, the way they behave is their culture.

Hampir semua nyanyian daerah atau senandung rakyat, nyanyian-nyanyian yang mengiringi tarian, ungkapan-ungkapan dalam istiadat-istiadat sosial dan keagamaan, zikir yang dilagukan atau yang mengiringi perlakuan yang bersifat magis, dipersembahkan dan diabadikan dalam semua bentuk puisi. Biasanya puisi-puisi tradisi itu dapat dikelaskan dalam berbagai golongan termasuk ritual, lirik dan naratif.

Lagu Puisi Jawa yang dibincangkan di sini bererti puisi yang dilagukan atau ditembangkan. Puisi-puisi yang ditembangkan seperti dalam perwayangan selalunya diiringi dengan muzik atau alat bunyi-bunyian seperti bonang, gendang, gong, gongso, gamelan dan kompang (Samuri Hj. Adnan, 1990). Alat-alat muzik yang digunakan meliputi bunyi-bunyian yang dipukul, digesek dan ditiup seperti beduk, bende, beri, bonang, demong, gambang, ketok, gendang, gendir, gung, kepiang, kempul, kenong, keromong, kecer, ketipang, kecerek, rebab,saron, sekati, selentem, selompret, serunai, suling, celempung, celereng, cente pelok dan cente salendero dan juga serunen prajurit (Sutan Mohammd Zain).

 Drs Soesatyo Darnawi dalam buku karangannya, Pengantar Puisi Jawa membahagikan puisi Jawa kepada 11 jenis iaitu:

1. Tembang
Tembang atau sekar merupakan puisi Jawa utama. tembang terbahagi kepada tiga:
 i- Tembang macapat atau tembang cilik
ii- Tembang tengahan atau tembang dagelan
iii- Tembang gede atau kawi

2. Sajak Jawa
Mengarang sajak Jawa tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

3. Parikan
Parikan berasal dari perkataan 'rik' atau 'larik' yang bererti baris, menderetkan. Ia merupakan pantun dalam kesusasteraan Indonesia. Parikan telah tersebar sejak sekian lama digunakan untuk melukiskan perasaan asmara, lelucon dan sindiran serta lain-lain. Biasanya ia terdiri daripada dua, empat, enam atau lapan baris. Parikan juga disebut sebagai 'sampiran.'
Contoh parikan yang terdiri dari empat baris ialah:
    Wedang bubuk,
    Gula Jawa,
    Aja ngamuk,
    Enggal tuwa

Ertinya:
    Minum kopi,
    Gula Jawa,
    Jangan Marah
    Lekas tua.

4. Wangsalan
Wangsalan bermakna teka-teki atau dalam istilah Melayu ialah pantun teka-teki. Ia juga dikenali sebagai pengasah otak atau kiliran budi.

5. Prenesan
Prenesan dalam bahasa Jawa bermaksud melukiskan puji sanjung atau kekaguman kepada kecantikan, kebagusan, kehalusan budi pekerti, keindahan,kepahlawanan dan segala keindahan hidup di dunia ini.

6. Guritan
Guritan dapat disamakan dan tidak ubah seperti syair. Biasanya guritan berisi sindiran kepada masyarakat atau juga mengandungi unsur-unsur pendidikan.

7. Candrasangkala
Sejak zaman dahulu orang-orang Jawa akan membuat tanda atau simbol peringat atau kenangan pada suatu peristiwa penting dengan gambar dan susunan kata-kata tertentu sesuai dengan perkara yang terjadi. Candrasangkala yang memakai gambar disebut Candrasangkala memet dan candrasangkala yang mempergunakan susun kata disebut candrasangkala lamba. Peristiwa-peristiwa  penting yang sering dijadikan peringatan dengan  candrasangkala ialah:
i - Waktu mengarang buku, terdapat dalam baris-baris tembang pada permulaan atau akhir karangan.
ii- Mendirikan bangunan-bangunan penting.
iii- kejadian-kejadian penting di dalam sejarah.
iv. Kelahiran.
v- Perkahwinan.
vi- Kematian

8. Sandiasma
Sandiasma ialah nama pengarang yang disembunyikan dalam kalimat suatu tembang dilakukan dengan tujuan untuk tidak menonjolkan dirinya dalam masyarakat. 
     sandi = rahsia
     asma = nama

9. Panembrama
Panembrama ialah sutu puji doa yang digubah dalam bentuk tembang dan dinyanyikan. Ia bertujuan untuk merayakan suatu perayaan, perkahwinan dan peringatan lain. Biasanya panembrama diiringi dengan muzik gamelan. 

10. Suluk
Biasanya perkataan 'suluk' dihubungkan dengan mencari penyatuan dan hubungan antara manusia dengan Tuhan> Akan tetapi dalam pengertian puisi Jawa, suluk bermaksud perwayangan. Suluk dalam pertunjukan perwayangan ialah nyanyian yang diucapkan oleh dalang atau pengatur laku untuk memberi warna suasana dalam suatu adegan dalam pertunjukan wayang kulit.

11. Singir
Singir berasal dari perkataan 'syair' yang bererti perasaan. Singir merupakan sebuah hasil kesusasteraan jenis puisi dari pondok pesantren. Singir ditulis dalam bentuk kitab bahasa Jawa yang dihiasi dengan kata-kata dan tulisan Arab dan ditulis dalam bentuk huruf Arab-Jawa atau pegon.

Masyarakat Jawa pada zaman dahulu merupakan masyakarat tertutup, anak-anak gadis dan teruna tidak sebebas pergaulan seperti zaman sekarang. Jodoh pertemuan antara teruna dara ialah pada hari pernikahan mereka. Dari situlah timbulnya usikan atau sindiran kepada pengantin. Misalnya:
   Mbok manten lengkak-lengkok,
   Urang-urong mbasuh popok (Puan Seri Banun Binti Mansur)
Maksudnya:
   Pengantin perempuan lenggang-lenggok,
   Akhirnya kena basuh lampin.

Biasanya lagu-lagu puisi Jawa dinyanyikan selepas mengaji al-Quran (Haji Ansor Haji Ahmad). Tembang tersebut dicipta agar anak-anak yang mengaji tidak akan bosan dengan pengajian mereka dan mengharapkan semoga esok arau lusa mereka akan datang semula menyambung pengajian al-Quran. Dongengan serta cerita-cerita lama juga turut diperdengarkan sebagai nasihat dan pengajaran untuk mereka.

Biasanya tembangan untuk mendodoikan anak kecil berupa parikan-parikan nasihat dan sekiranya ibu atau bapa tersebut biasa mendengar lagu-lagu dalam wayang kulit, mereka akan mendodoi anak mereka dengan lagu-lagu sedemikian.

Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik : Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91

bersambung/.....

Sabtu, 14 Januari 2012

Art Therapy : Kajian-Kajian Art Therapy

Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Tempat          :     Sanbay Hotel Sandakan
Tarikh           :      1November 2011
Penceramah  :      Prof. Madya Mohd. Makzan Musa 
                           Jabatan Siswazah Psikologi & Kaunseling
                            Kolej Sastera dan Sains
                            Universiti Utara Malaysia

Kajian-Kajian Art Therapy

Kajian meluas yang dilakukan oleh Rubin (2005) memperlihatkan art therapy digunakan dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak, keluarga dalam pelbagai teknik dan bahantara yang dikategorikan sebagai Artful Therapy. Keragaman penerapan art therapy di gunakan dalam kalangan kanak-kanak autism, kecelaruan Attention-Deficit/Hyperaktivity, kanak-kanak mangsa penderaan seksual, remaja dan kemurungan (Rubin, 2003). Dalam kalangan kelompok dewasa kajian-kajian telah menunjukkan bagaimana kaedah art therapy digunakan dalam rawatan penagihan penyakit pental dan dalam kalangan warga emas (Malchioldi,2003). Pendekatan art therapy turut digunakan dalam kalangan mereka yang mengidap penyakit melarat seperti barah (Waller & Sibbett, 2004) serta meredakan simptom penyakit HIV/AIDS (Rao et al., 2009). Kalmowitz & Llyod (2005), Papadopoulous (2005a), Kalin & Murphy (2005b), Mc Geehen (2005c) dan Nabarra (2005d) menggunakan pendekatan art therapy sebagai kaedah memulih dari trauma dalam kalangan mangsa perang dan mereka yang hidup di zon peperangan dan pergolakan politik.

Art therapist yang terlatih dan bertauliah (yang belum ada di Malaysia) yang menggunakan art dalam proses bantuan menolong, pendekatan art therapy turut boleh digunakan, diaplikasikan oleh kaunselor, pekerja sosial, play therapist, terapis keluarga dan perkahwinan, psikologis dan psikiatri. Aktiviti melukis dan media ekspresif lain boleh digunakan dalam membuat asesmen dan rawatan kepada pelbagai klien dari pelbagai latar belakang.

Kelebihan pendekatan art therapy dilihat bagaimana ia membolehkan luahan perasaan dan pemikiran dilakukan dalam tatacara yang kurang mengancam, tidak mengganggu berbanding diluahkan secara lisan. Lantaran kaedah ini ada sens of safety yang tidak dapat dilakukan dengan pendekatan terapi atau kaunseling konvensional. Menerusi kaedah ini permaalahan psikososial yang melibatkan bauran perasaan, pemikiran berserta proses-proses tubuh dengan segala pengalaman klien dapat ditransformasikan kepada imej nyata melalui image making, image formation dan image creation.

Disebabkan kekangan masa untuk menjalani sesi terapi antara klien dengan terapis mahu pun kaunselor dalam jangkamasa lama, luahan art dalam bentuk lukisan di dapati membantu mempercepatkan klien meluahkan isu permasalahan psikososial lantas menyegerakan asesmen dan intervensi. Kelebihan malah kehebatan pendekatan art therapy dalam mengendalikan isu-isu psikososial melangkaui jangkaan umum betapa kaedah ini berada dalam kedudukan penting dalam proses bantuan menolong dengan penggunaan pelbagai bahantara, kaedah dan teknik (Azizah Abdullah, 2009).

bersambung/.....

Lagu Puisi Jawa: Pengenalan

Sebahagian besar pustaka kesusasteraan Jawa ditulis dalam bentuk puisi, hampir dapat dikatakan bahawa prosa (ganjaran Jawa), jarang digubah orang. Akan tetapi sejarah kesusasteraan Jawa terus berkembang, kehidupan kebudayaan pun terus pula berkembang (Soesatyo Darnawi: 1964).

Perkataan 'Jawa' biasanya dikaitkan dengan Indonesia, kerana dari Pulau Jawa itulah asal muasal orang-orang jawa yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan mereka pada abad ke 19 merupakan satu faktor sejarah yang membuktikan berkembangnya keturunan Jawa di Semenanjung Tanah Melayu terutama sekali di selangor, Johor, Perak dan beberapa daerah kecil di negeri-negeri Melayu pantai barat.

Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja untuk bermastautin sebagai satu komuniti atau rumpun Jawa melalui bahasa pertuturan, malahan adat istiadat dan cara hidup mereka turut diamalkan di negara ini.

Di Malaysia, hampir tidak ada perbicaraan ilmiah, saintifik dan menyeluruh terhadap puisi Jawa. Kemungkinan besar bidang ini tidak begitu menarik minat pengkaji puisi atau mungkin minat mereka lebih tertumpu kepada pengkajian puisi Melayu tradisional atau puisi yang sezaman. Di samping itu faktor rumpun Melayu yang merupakan masyarakat terbesar di negara ini boleh dijadikan alasan mengapa lagu puisi Jawa tidak mendapat tempat di hati mereka.
Puisi lama ialah sebahagian daripada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama ( Sutan Takdir Alisjahbana: 1971). Justeru itu alangkah tepat dan cocoknya andai penulis menulis begini:
'Lagu puisi Jawa adalah sebahagian daripada kebudayaan Jawa yang dipancarkan oleh masyarakat Jawa.'

Antara lain motif kajian Lagu puisi Jawa ini ialah untuk mencungkil dan memelihara serta mencatat budaya lisan orang-orang Jawa yang kurang diambil perhatian oleh para pengkaji dan peminat serta pencinta seni.

Alangkah sayang dan ruginya seandainya apa-apa bentuk budaya lisan Jawa samada puisi,dongengan yang berunsur nasihat, lelucon, keagamaan dan seumpamanya terbiar dan lama-kelamaan hilang pupus dan lenyap tanpa catatan dan pembelaan serta inisiatif pihak-pihak tertentu untuk dikoleksikan dalam sebuah hasil karangan kenang-kenangan. Akan hilang lenyaplah budaya berharga ini  kerana zaman tidak memandang lagibke arah rumpun bangsa yang membawa kenangan abadi dari Tanah Jawa.

Justeru itu kita tidak harus membiarkan puisi-puisi Jawa ini mati terkubur bersama jenazah generasi tua, akan tetapi kalau pun tidak diamalkan lagi biarlah ia menjadi kenangan atau memori untuk anak cucu serta keturunan mereka, di samping memperkayakan lagi harta puisi Melayu tradisional di Malaysia. Sewajarnya pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor Darul Ehsan mengambil inisiatif untuk membukukan hasil budaya lisan dalam apa jua bentuk samada daripada karya lisan masyarakat Melayu, Jawa atau Banjar kerana kesemua rumpun  ini berada di bawah satu bumbung bangsa di kepulauan Nusantara.

Orang yang menutup telinga terhadap puisi akan terpencil dari suatu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian manusia, pandangan perseorangan, sensitiviti yang menonjol; oleh itu upaya yang dituntut untuk memahami serta menghayati puisi menjadi sama pentingnya dengan upaya  yang dituntut oleh setiap bentuk kehidupan manusiawi lainnya (Henry Guntur Tarigan: 1984).

Puisi itu mengemukakan hidup dalam kehidupan (Abdul Rahman Kaeh: 1970). Beliau turut menyorot tanggapan Herman Hess bahawa: 'Dan tiap-tiap orang yang mendengar merasa dengan kemanisannya atau kesakitannya terhadap yang mereka kasihi atau mereka benci. Anak-anak berfikir tentang permainan mereka,  para remaja berfikir tentang kekasih mereka dan orang-orang tua berfikir tentang kematian mereka.'

Dipetik daripada:
Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik: Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91


bersambung /....

Isnin, 9 Januari 2012

Pamit - Selamat Tinggal

Ijinkan aku pergi
apa lagi yang engkau tangisi
semogalah penggantiku
dapat lebih mengerti hatimu


Memang berat kurasa
meninggalkan kasih yang kucinta
namun bagaimana lagi
semuanya harusku jalani


Selamat tinggal
kudoakan kau selalu bahagia
hanya pesanku
jangan lupa kirimkan kabarmu


Bila suatu hari
dia membuat kecewa di hati
batin ini takkan rela
mendengarmu hidup menderita


Sayang...
walau kebersamaan kita hanya sesaat
namun kau tetap bagian dari jiwaku
kuiringi kepergianmu dengan ikhlas hati
semoga kelak kita dapat bersatu lagi.


Broery Marantika







Lirik lagu ini sungguh menyentuh hati! Sesungguhnya perpisahan itu amat menyakitkan. Biar pun jauh di mata, tapi setiap saat ada di hati. Bercerai mati puas di hati namun bercerai hidup hanya mata yang mampu memandang! Bagaimana sukarnya untuk melepaskan orang yang tersayang sedangkan dia adalah sebahagian daripada jiwanya. Di hujung senikata lagu ini terselit pengharapan agar adanya pertemuan sekali lagi di antara mereka, namun mungkin sudah tentunya pertemuan itu berlaku di alam yang satu lagi!

Ahad, 8 Januari 2012

Kita Mainan Waktu

kau bermain dipasir
bagai anak ketam yang bebas
mendaki batu-batu berlumut
yang mengembalikan usia kecil
dan memutuskan jarak waktu yang jauh

pantai ini airnya bersih
kita tak boleh berlama di sini
matahari akan menghantar malam
dan alam bukan milik kita lagi
setelah diri dimiliki waktu

Baha Zain
Ogos 1974
Antologi Puisi Lukisan Zaman

Banyak makna tersirat di sebalik pemilihan diksi yang cukup puitis dalam 2 rangkap puisi di atas. Ia merupakan pesanan yang begitu sopan dengan bahasa yang lembut  halus namun seakan-akan satu bentuk sindiran terhadap tingkah laku manusia yang sering alpa dalam melewati rutin kehidupan harian. 

Melalui rangkap 1, Penyair membandingkan manusia yang leka sebagai anak ketam yang bebas bermain pasir dan mendaki batu-batu berlumut sehingga terlupa masa berlalu meninggalkan mereka dengan begitu pantas.

Melalui rangkap 2 pula, dengan nada sinis penyair mengingatkan bahawa usia manusia akan berlalu dan tidak boleh berpatah balik dari usia tua kembali kepada usia muda. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan unsur personifikasi iaitu "matahari akan menghantar malam" sebagai mengingatkan perubahan waktu terus akan berlaku.

Berdasarkan latar pada masa kini dan masa silam, penyajak ingin menyampaikan pesanan kepada manusia supaya bijak mengisi waktu dengan perkara yang berfaedah, di samping tidak melengah-lengahkan atau membuang waktu. Sesungguhnya waktu akan terus berlalu tanpa menunggu kita kerana kita tidak memiliki waktu sebaliknya "diri dimiliki waktu".