Ahad, 1 Mei 2011

Kraton Ngayogyakarta Hadiningrat

Cuaca agak panas setibanya kami di pintu masuk Kraton Yogyakarta. Para pengunjung dikehendaki memakai pakaian yang kemas dan sopan, dan oleh kerana Veera memakai baju tidak berlengan, petugas di situ meminjamkan Veera kemeja lengan panjang.  Datanglah beramai-ramai penjual barang kraftangan ke arah kami, memujuk dan menawarkan harga terendah tapi kami meneruskan perjalanan maju ke hadapan. Ada pula seorang jurufoto merakam gambar kami tak henti-henti, dan terasa pula macam bintang filem ......
Unsur Hindu dan adat budaya Jawa terdapat di mana-mana walaupun hakikatnya agama yang dianuti ialah agama Islam. Kraton Yogyakarta dibina oleh Sri Sultan Haengku Buwono I pada tahun 175 di wilayah Hutan Beringan. Yogya bermaksud baik dan Karta bermaksud makmur. Walaupun begitu, ada yang mengatakan Yogyakarta berasal dari kata dasar Ayu + Bagya + Karta menjadi Ngayokyakarta. Wilayah kraton ini terbentang di antara Tugu (bahagian utara) dan Krapyak (bahagian selatan) antara Sungai Code di sebelah timur dan Sungai Winongo di sebelah barat dan juga antara Gunung Merapi dengan Laut Selatan. Gempa bumi yang berlaku pada tahun 1867 menyebabkan sebahagian bangunan tersebut mengalami kerosakan teruk. Setelah dibaikpulih oleh Sri Sultan Hamengku Buwono VII pada tahun 1889, hasilnya berlaku perubahan dari segi struktur bangunan seperti yang dapat dilihat hari ini.


Di depan pintu masuk Kraton Yogyakarta. Di hujung sekali ialah Pak Agung, pemandu pelancong kami sepanjang hari ini. Setelah membeli tiket, kami melangkah masuk ke bahagian Kraton. Ha... apa itu kraton? Kraton ialah tempat bersemayam ratu-ratu, berasal dari perkataan ka + ratu + an = Kraton. Ada juga yang menyebut Kedhaton,  ka + dhatu + an yang bererti tempat tinggal dhatu @ raja. Kraton ialah sebuah istana, tapi istana bukanlah Kraton... apa tu? Pening pulak kepala memikirkannya. Kraton ialah sebuah istana yang mengandungi erti keagamaan, falsafah, dan kebudayaan. Oleh itu, berdasarkan pengertian tersebut, Kraton Yogyakarta bukanlah sebagaimana istana lain yang kita temui atau lawati kerana di sini semuanya mempunyai falsafah yang tersirat di sebalik apa yang dibangunkan dalam bentuk fiizikal misalnya, struktur bangunan, kedudukan bangsal-bangsal, ukiran dan hiasan, serta pepohonan yang ditanam... semuanya ada erti tersendiri.



Di hadapan Regol Danapratapa.

Regol Danapratapa ialah pintu gerbang yang mengubungkan antara halaman Srimanganti dengan halaman Bangsal Kencana.



Di atas Regol Danapratapa tertulis candrasengkala: Kaluwihaning Yaksa Salira Aji yang bermaksud tahun 1851 Jawa juga suryasengkala yang berbunyi: Jagad Ingasta neng Wiwara Dhatulaya yang bermaksud tahun 1921 Masehi. Ini dikatakan sebagai tahun membaikpulih pintu gerbang tersebut. terdapat dua buah patung raksaksa Dwarapala (sepasang) di kiri kanan pintu gerbang ini. Di sebelah kanan ialah Patung Cingkarabala dan di sebelah kiri ialah Patung Balaupata.



Kami dibawa ke bahagian dalam kawasan kraton yang dianggarkan seluar 14,000 meter persegi. Pak Agung menerangkan bahawa terdapat sejumlah 64 pohon beringin ditanam yang sebagai simbol usia kewafatan Nabi Muhamad s.a.w mengikut perkiraan tahun Jawa. Kami sempat melawat Bangsal Pagelaran, Bangsal Pamadengan, Bangsal Pengapit, Bangsal Pangrawit dan bangsal Pacikeran. Tidak ketinggalan Bangsal Sitihinggil, tempat penobatan atau pelantikan Raja-raja Kesultanan Yogyakarta.




Ibu ini yang membawa kami mengelilingi kraton sambil memberi penerangan kepada kami.






Suasana di halaman  kraton.



Tiada sehelai rumput yang ditanam di halaman istana, melainkan debu pasir yang memang didatangkan khas dari  Gunung Merapi.



Pekerja istana sedang menyiram bunga... tanpa memakai kasut. Lebih 500 pekerja istana di sini tetapi semuanya masih mengikut amalan tradisi.... berkaki ayam.



Lihatlah cara mereka berpakaian.... pakaian tradisi pekerja kraton.



Apa agaknya tugas mereka di sini?  Teringat kisah-kisah istana zaman purbakala......



Tempat usungan diraja..... juga sebagai tempat perarakan pengantin diraja, diusung oleh 30 orang.








Oleh kerana terlalu banyak gambar yang diambil, dan Amie pun sukar untuk memilih mana satu yang patut dimasukkan dalam blog, cukuplah setakat gambar dan info di atas. Lagi pun... ada yang tak berapa menyenangkan hati kami sebab sebaik sahaja kaki melangkah keluar kawasan kraton, gambar-gambar sudah terpampang di bawah pokok... jurufoto tadi rupanya sudah siapkan semuanya... terpaksalah kami beli dengan harga Rp35,000 untuk 2 keping..., terfikir juga kalau kami tak beli gambar sendiri...apa akan jadi???? Huh.....