Rabu, 25 April 2012

Candi Borobudur : 5 Bintang Untuk Pak Latif

Hari terakhir kami berada di Yogyakarta seperti yang dijadualkan pada 16 Mac 2011, kami meninggalkan tempat penginapan yang sungguh istimewa di Wisma Ary. Selepas bersarapan, kami bergerak menuju ke barat daya Yogyakarta. Perjalanan sejauh 40km itu telah menemukan kami dengan satu situasi yang sungguh luar biasa setelah di pinggir kota Yogyakarta kerana kami sempat menyaksikan sebuah batu yang diterbangkan sejauh 25km dari puncak Gunung Merapi. Bayangkan... ketika kami berada di Yogyakarta, kota kebudayaan ini baharu saja bersih dari debu gunung berapi kira-kira 5 bulan lepas setelah Gunung Merapi meletus pada 26 Oktober 2010. Dan, sesungguhnya batu bongkah yang begitu besar berada di tepi jalan itu sebenarnya masih mengeluarkan asap! Kami meneruskan perjalanan menuju ke Magelang, Jawa Tengah untuk lawatan ke Candi Borobudur. 




Barangkali kerana kebijaksanaan pemandung pelancong kami iaitu Pak Latif menjadikan kami benar-benar teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Candi Borobudur ini. Dengan sikap ramah-tamah dan berbudi bahasa serta banyak pengetahuan sejarah, Pak Latif memang boleh diberi 5 bintang sepanjang perkhidmatannya untuk kami pada hari tersebut!



Pemandangan dari  atas bahagian belakang Candi Borobudur  Kelihatan  gunung berapi sebagai latar belakang pemandangan indah di sini. 


Pak Latif menunjukkan debu dari Gunung Merapi yang meletus pada Oktober 2010, yang masih terdapat melekat di celah-celah binaan Candi Borobuudur.


Di hadapan Pak Latif (sebelahnya) ialah reflika seekor singa yang dikatakan dibina sempena memperingati jasa Sir Stamford Raffles dalam usahanya mencarigali semula binaan Candi Borobudur yang tenggelam akibat tertimbus oleh debu Gunung Merapi yang meletus.


Baharulah kami faham apa yang selama ini kami pelajari dan baca dari buku sejarah berkaitan dengan Sejarah Asia Tenggara terutamanya tentang Candi Borobudur. Pak Latif menerangkan satu persatu segala ukiran yang terdapat di bangunan tersebut. Selama ini memang selalu tercengang-cengang dan kurang memahami apa kaitannya candi dengan unsur sejarah dan tamadun manusia!


Oleh kerana terlalu banyak rakaman kisah dan peristiwa serta pelbagai pengetahuan yang kami perolehi di sini, Amie akan sambung semula maklumat lawatan ini kemudian.



Dari pintu masuk pejabat pelancongan, sehinggalah kami keluar semula dari kawasan monumen, Pak Latif tidak henti-henti bercerita, berkongsi maklumat tentang bangunan bersejarah ini. Kalau pak Latif jadi Pak guru, memang dijamin semua murid akan berminat untuk belajar sejarah! Cara Pak Latif bercerita sahaja sudah menunjukkan Pak Latif tidak memerlukan sebarang alat bantuan mengajar untuk memahamkan si pendengar!


Seperti juga di Candi Prambanan, suasana di sekitar Candi Borobudur sangat nyaman dengan tiupan angin yang semilir. Banyak pepohon rendang di tanam di sekitar kawasan. Menurut Pak Latif, antara pokok yang ditanam termasukkan pokok bodi, tempat Siddharta Gautama Buddha bertapa untuk mencari pencerahan.



Gunung Merapi yang gagah diselaputi awan di belakang Candi Borobudur.


Sesi lawatan kami ke Yogyakarta, kota sejarah dan budaya berakhir di sini. Kami akan meneruskan perjalanan kembali ke Bandung.

Selasa, 24 April 2012

Candi Prambanan

Kira-kira 17km jaraknya dari pusat kota Yogyakarta, kami berkesempatan mengunjungi bangunan setinggi 47 meter terletak di sebuah lapangan yang dikelilingi oleh pohon-pohon bunga tanjung yang rendang dan berbunga harum. Inilah Candi Prambanan yang dikatakan Candi Hindu tercantik di dunia. Candi ini dibina sekitar abad ke 10 di bawah pemerintahan   dua raja iaitu Rakai Pikatan dan Rakai Balitung. Ketika kami tiba di sini, masih terdapat kesan-kesan debu dari Gunung Merapi. Kerja-kerja membaikpulih juga sedang dijalankan dan sebahagian kawasan merupakan kawasan larangan untuk dimasuki kerana terdapat kerosakan akibat gempa bumi yang sedang dibaiki.


Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, di sekitar Candi Prambanan terdapat lebih 200 buah candi yang kecil tetapi sebahagian besarnya telah runtuh akibat  gegaran gempa bumi dan letusan Gunung Merapi yang sentiasa aktif. 


Walaupun cuaca amat panas dan terik, tetapi angin yang bertiup menyebabkan suasana menjadi nyaman dan menyelesakan. Memang berpeluh-peluh kami dibuatnya ketika memanjat anak-anak tangga untuk sampai ke setiap tingkat bangunan ini. Setiap anak tangga mempunyai simboliknya yang tersendiri kerana dalam ajaran agama Hindu, terdapat tingkat atau taraf dan kasta manusia. 





Ramai pelancong asing mengunjungi tempat ini. Bagaimanapun sebenarnya anak-anak sekolah juga memenuhi beberapa ruangan bangunan tersebut untuk mempelajari sejarah dan budaya  negara mereka.



Menurut Pak Agung lagi, terdapat lagenda di sebalik kisah pembinaan candi ini. Bandung Bondowoso mencintai Roro Jonggrang tetapi cintanya tidak bersambut. Namun begitu Roro Jonggrang meminta Bandung Bondowoso membina 1000 buah candi dalam tempoh satu malam dan mesti disiapkan sebelum pagi menjelang. Sampai di sini, cerita Pak Agung terhenti kerana kami sudah sampai ke pintu keluar untuk menunaikan solat. Cerita terhenti setakat itu sahaja. Amie teringat Roro Jonggrang itu sama sebutannya dengan Perusahaan Batik Jonggrang yang kami lawati sebelum ini. Agaknya ada kaitankah nama ini?


Pemandangan di luar bangunan. Kelihatan rusa peliharaan sedang merehatkan diri dan ada juga yang sedang meragut rumput.


Bentuk Candi Prambanan dilihat dari dekat.


Bahan binaannya terdiri dari batu gunung berapi yang diangkut dari Gunung Merapi.

Rabu, 11 April 2012

Persembahan Teater: Ramayana

Selepas menikmati hidangan malam di Gazebo Garden Restaurant, kami menjamu mata pula dengan menonton persembahan Teater Ramayana yang terletak bersebelahan dengan GGR. Ia merupakan panggung terbuka.


Rama & Sita Dewi



Pintu masuk ke Open Teater Ramayana Ballet.






Para pelakonnya memang berbakat dan kami difahamkan ada di antara mereka masih lagi anak-anak sekolah. Lakonan mereka hidup! Berbaloi-baloi dengan harga tiket yang beratus ribu rupiah itu! Amie terpikat dengan kain batik lepas yang dipakai oleh Rama & Sita kerana sebelum ini kami telah mengunjungi pusat membatik dan kain yang dipakai oleh kedua-dua watak ini memang jenis kain yang berkualiti tinggi! Amie sempat bertanya kepada pengusaha batik tersebut dan menurutnya kain ini dihasilkan dalam tempoh 3 bulan! Batik lukis.... harganya....juta-juta rupiah! Memang halus dan cantik!


Walaupun kami tidak faham bahasa yang dituturkan (Jawa Halus), tetapi tetap tidak berganjak selama 1 jam setengah menyaksikan persembahan yang sungguh mengasyikkan ini.


Persembahan telah berakhir. Lakonan mereka sungguh mantap, dan sudah semestinya mereka telah berlatih bersungguh-sungguh di samping memiliki stamina yang cukup kuat kerana banyak adegan ataupun babak lasak yang dipertontonkan. Kami kembali ke Wisma Ary dan bermimpi jadi Sita Dewi yang cantik jelita!

Selasa, 10 April 2012

Dinner at Gazebo Garden Restaurant, Yogyakarta

Masih ada lagi rakaman gambar perjalanan ke Pulau Jawa yang belum sempat Amie masukkan ke dalam Amie's Home Library.  Oleh kerana kekangan waktu akhirnya Amie terus terlupa adanya gambar-gambar tersebut. Kali ini Amie ingin kongsi gambar kenangan sewaktu kami menikmati makan malam di Gazebo Garden Restaurant. Sekembalinya kami dalam keadaan letih dari kaki Gunung Merapi yang baru meletus itu, kami sempat membersihkan diri dan menunaikan solat jamak qasar Zohor dan Asar. Selepas itu kami bergegas meninggalkan tempat penginapan kami di Wisma Ary yang cukup indah dengan konsep Balinya, untuk menghadiri majlis makan malam seterusnya dijadualkan menonton teater Ramayana pada pukul 8.00 malam.


Suasana sekitar amat nyaman dan selesa. Gazebo Garden Restaurant ini boleh memuatkan sehingga 1,500 orang tetamu pada satu-satu masa. 


Kebanyakan pengunjung yang datang pada malam itu terdiri daripada pelancong Jepun, Belanda dan juga Perancis. Hidangan yang disediakan tidak jauh bezanya dengan yang kami biasa makan di hotel. Tauhu dan tempe memang merupakan menu wajib!


Nonie & Fauziah. Hanya tinggal kenangan. Nonie telah berpindah ke Negeri Sembilan awal tahun 2012, manakala Gee (Fauziah)  mendahului Nonie berpindah ke Terengganu akhir 2011.


Ketua kumpulan kami,  yang mengurus dan menjaga segala kebajikan kami, Veera Mahendra Rao juga berpindah ke Johor pada Disember 2011.


Kami dihiburkan dengan pelbagai lagu oleh kumpulan orkestra, tapi kami tidak faham apa yang dinyanyikannya. Kemunculan seorang penari yang sungguh ayu jelita menarik perhatian kerana tariannya begitu gemalai dan memukau!


Amie sempat bertanya kepada salah seorang pelayan di restoran ini, dan menurutnya penari wanita yang jelita ini sedang menarikan Tarian Golek Serimpi.


Sementara menunggu teater Ramayana bermula, sempat bersantai-santai di depan gazebo. Sebenarnya ketika ini, mata sudah kelihatan layu! Mengantuk kerana keletihan sepanjang hari menghabiskan masa mengunjungi Candi Prambanan dan juga mendaki kaki Gunung Merapi.