Selasa, 24 April 2012

Candi Prambanan

Kira-kira 17km jaraknya dari pusat kota Yogyakarta, kami berkesempatan mengunjungi bangunan setinggi 47 meter terletak di sebuah lapangan yang dikelilingi oleh pohon-pohon bunga tanjung yang rendang dan berbunga harum. Inilah Candi Prambanan yang dikatakan Candi Hindu tercantik di dunia. Candi ini dibina sekitar abad ke 10 di bawah pemerintahan   dua raja iaitu Rakai Pikatan dan Rakai Balitung. Ketika kami tiba di sini, masih terdapat kesan-kesan debu dari Gunung Merapi. Kerja-kerja membaikpulih juga sedang dijalankan dan sebahagian kawasan merupakan kawasan larangan untuk dimasuki kerana terdapat kerosakan akibat gempa bumi yang sedang dibaiki.


Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, di sekitar Candi Prambanan terdapat lebih 200 buah candi yang kecil tetapi sebahagian besarnya telah runtuh akibat  gegaran gempa bumi dan letusan Gunung Merapi yang sentiasa aktif. 


Walaupun cuaca amat panas dan terik, tetapi angin yang bertiup menyebabkan suasana menjadi nyaman dan menyelesakan. Memang berpeluh-peluh kami dibuatnya ketika memanjat anak-anak tangga untuk sampai ke setiap tingkat bangunan ini. Setiap anak tangga mempunyai simboliknya yang tersendiri kerana dalam ajaran agama Hindu, terdapat tingkat atau taraf dan kasta manusia. 





Ramai pelancong asing mengunjungi tempat ini. Bagaimanapun sebenarnya anak-anak sekolah juga memenuhi beberapa ruangan bangunan tersebut untuk mempelajari sejarah dan budaya  negara mereka.



Menurut Pak Agung lagi, terdapat lagenda di sebalik kisah pembinaan candi ini. Bandung Bondowoso mencintai Roro Jonggrang tetapi cintanya tidak bersambut. Namun begitu Roro Jonggrang meminta Bandung Bondowoso membina 1000 buah candi dalam tempoh satu malam dan mesti disiapkan sebelum pagi menjelang. Sampai di sini, cerita Pak Agung terhenti kerana kami sudah sampai ke pintu keluar untuk menunaikan solat. Cerita terhenti setakat itu sahaja. Amie teringat Roro Jonggrang itu sama sebutannya dengan Perusahaan Batik Jonggrang yang kami lawati sebelum ini. Agaknya ada kaitankah nama ini?


Pemandangan di luar bangunan. Kelihatan rusa peliharaan sedang merehatkan diri dan ada juga yang sedang meragut rumput.


Bentuk Candi Prambanan dilihat dari dekat.


Bahan binaannya terdiri dari batu gunung berapi yang diangkut dari Gunung Merapi.

Tiada ulasan: