Ahad, 26 Jun 2011

Gunung Merapi

Cuaca amat cerah sewaktu bas parawisata meluncur meninggalkan Candi Prambanan menuju ke kaki Gunung Merapi. Melihat panorama indah di kiri kanan jalan dengan pemandangan sawah padi subur menghijau dan deretan rumpun buluh, kami sedikit pun tidak membayangkan bagaimanakah keadaan kaki Gunung Merapi yang baru sahaja meletus pada 26 Oktober 2010 yang lalu dan ini bermakna, kami mengunjungi tempat yang  kira-kira 5 bulan yang lalu mengalami musibah.




Ini adalah antara pemandangan di salah sebuah di antara 9 permukiman yang dilanda gempa bumi. Di kiri kanan jalan orang ramai mendirikan rumah-rmah sementara yang diperbuat daripada buluh.

  Menjejakkan kaki buat pertama kali di daerah padang jarak padang tekukur.... di belakang kami ialah belahan bumi yang menjadi sungai debu,pasir dan batu dari Gunung Merapi.


Pada mulanya kami menyangka sungai yang kering kontang tetapi ini merupakan laluan larva akibat letusan Gunung Merapi yang meranapkan 9 perkampungan, dan beratus-ratus buah rumah serta mengorbankan banyak nyawa, harta benda serta haiwan ternakan terutamanya lembu tenusu.


Ini bukan cuaca mendung, tetapi latar belakang Gunung Merapi yang sedang dilitupi asap bercampur awan, kerana gunung ini masih aktif.


Antara batu-batan, pasir dan debu yang berterbangan semasa letusan berlaku. Sebenarnya ketika ini bau asap belerang menyengat hidung..... batu-batan masih lagi mengeluarkan asap....


Batu-batan yang meletup  terbang melebihi 25 km (kami sempat melihat batu tersebut yang masih berasap dalam perjalanan ke Candi Borobudur keesokan harinya). Bolehkah anda bayangkan cerita di sebalik padang jarak padang tekukur ini.... perkampungan yang subur, beratus-ratus buah rumah, penduduk yang aman dan makmur, haiwan ternakan yang meragut rumput menghijau....


Amie dan Veera memberanikan diri membonceng motosikal  yang dibawa oleh penduduk tempatan sejauh 3km dengan bayaran Rp35.000 setiap seorang. Amie terlupa untuk bertanyakan nama yang membawa Amie naik motosikal - seorang ibu yang bangkit kembali untuk meneruskan kehidupan selepas letusan.


Kami menunggu beberapa minit sementara kabus dan awan tebal beralih ke tempat lain untuk melihat sendiri puncak Gunung Merapi yang sentiasa berasap itu.....


Lama-kelamaan kabus dan awan beransur-ansur pergi ditiup angin. Inilah rupa Gunung Merapi.....


Pemandangan di kaki Gunung Merapi.


Sebahagian rumah yang ranap, yang lain hancur atau tertimbus oleh batu dan pasir gunung berapi, dan juga dibawa arus panas gunung berapi ke tempat lain.


Gunung Merapi kelihatan tenang, tapi tidak siapa menyangka.... letusannya tidak pernah mengenal erti belas. Gunung berapi paling aktif di Jawa Tengah ini dikatakan telah meletus sebanyak 70 kali semenjak 1548. Kami difahamkan semasa letuhan berlaku pada Oktober 2010, selama 2 minggu langit sekitar Yogyakarta berada dalam keadaan gelap gelita. Abu debu ada di mana-mana. Semua kegiatan penduduk terhenti.



Kami mengucap beribu-ribu syukur, insaf akan kebesaran Ilahi. Kehidupan di negara kita jauh lebih baik dan selamat berbanding di sini, kami terkenang kemakmuran dan kekayaan di negeri sendiri..... kami tiada pilihan, itulah jawapan wanita yang membonceng Amie sewaktu menuju ke kaki Gunung Merapi.


Antara pondok persinggahan yang didirikan di bawah kaki gunung.



Tiada kata yang mampu diucapkan untuk menceritakan keadaan yang dialami, hanya gambar sebagai bukti untuk membenarkan peristiwa itu....


Kami meninggalkan kaki gunung ini dengan pelbagai perasaan yang sukar digambarkan....


Moga mangsa gempa bumi bangkit semula dengan semangat baru untuk meneruskan kehidupan yang sememangnya menjanjikan risiko buat mereka.....


Berehat di dalam pondok buluh.

Sabtu, 25 Jun 2011

Candi Prambanan

Selepas menikmati makan tengahari di sebuah restoran berhampiran Ansor's Silver kami meneruskan perjalanan ke bahagian timur Yogyakarta. Cuaca amat panas tapi angin bertiup menyamankan persekitaran. Sebenarnya ketika ini Amie rasa hampir jatuh pitam, dan memutuskan untuk tidak menyertai rakan-rakan yang lain. Tapi, mengenangkan bukan selalu berkesempatan ke tempat ini, Amie gagahkan diri mendaki anak-anak tangga Candi Prambanan ini.


Candi Prambanan ini terletak bertepatan dengan sempadan antara provinsi Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Yogyakarta. Dikatakan bahawa candi ini dibina sekitar 850 Tahun Masehi semasa wangsa Sanjaya.


Pelancong dari luar negara sedang berteduh di bawah pokok, mencari perlindungan dari panas terik matahari.



Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, tidak semua penganut agama Hindu berpeluang untuk sampai ke tingkat atas bangunan ini. Semasa upacara ibadat,  masing-masing seperti penganut dari golongan kasta rendah,  tidak dibenarkan berada di tingkat atas untuk kasta Brahma dan Ksatriya.


Selama ini kami hanya melihat Candi Prambanan dan buku Sejarah tapi tidak faham dengan lebih lanjut mengenainya. Setelah melihat sendiri dan mendengar penerangan Pak Agung, sedikit demi sedikit kami mula memahami erti tamadun dunia, terutama tentang penyebaran agama Hindu dan Buddha ke Asia Tenggara. Monumen sebegini merupakan bukti sejarah peninggalan peristiwa masa lampau yang turut mempengaruhi budaya masayakat di negara ini.


Agaknya kalau semua murid berpeluang melihat dan menyaksikan serta memahami sendiri apa itu sejarah, tentu akan lebih menghayati konsep tersebut. Minat mempelajari mata pelajaran Sejarah juga boleh disemai melalui cara lawatan sambil belajar. Dengan ini sudah semestinyalah akan terpupuk nilai patriotisme, cinta akan negara dan sanggup berkorban untuk negara.


Kami tinggalkan Candi Prambanan yang diperbuat daripada susunan batu-bata dari Gunung Merapi, tanpa menggunakan simen untuk melekatkannya di antara satu sama lain ini, .....sentiasa disimbahi cahaya matahari khatulistiwa ini...... ada surau berdekatan, kami tunaikan solat Zohor. Selepas itu kami meneruskan perjalanan menuju ke kaki Gunung Merapi. Gunung Merapi???? Gunung yang baru meletus  pada 26 Oktober 2010 itu...

Rabu, 8 Jun 2011

Batik Indah Raradjonggrang & Ansor's Silver

Kami berkesempatan mengunjungi tempat membatik di Pesona Batik Asli Batik Indah Raradjonggrang. Di sini kami melihat sendiri bagaimana proses pembuatan batik tulis tangan. Untuk menghasilkan sehelai batik yang bekualiti tinggi memerlukan sekurang-kurangnya selama 3 bulan.  Antara proses yang sedang dijalankan di pusat membatik ini termasuklah membuat pola dasar pada kain putih dengan pensil, membatik pola dasar, memberi isian, menutup lilin, mencelup ke dalam warna pertama dan kedua, menggodog, mengulang batik sehinggalah ke peringkat akhir iaitu mengulang mengggodog untuk menghilang semua lilin.





Memang mengasyikkan melihat mereka membatik dan kalau diikutkan hati sampai ke petang kami tak pulang. Ada di antara rakan yang lain membeli batik sebagai ole-ole tapi Amie kurang berkenan pula. Sebenarnya Amie berkenan dengan batik sutera tapi bila melihat harganya melebihi Rp2 juta, berfikir dua kali pula untuk membelinya walaupun ditawarkan 50% potongan. Kami melawat pula ke pusat pembuatan barangan perak di Kota Gede iaitu Ansor's Silver.


Pelbagai macam barangan perak dihasilkan di sini. Semuanya dihasilkan secara manual. Para pekerja tekun bertukang untuk menghasilkan barangan yang berkualiti.



Antara hasil kraftangan perak yang halus dan tinggi mutu pembuatannya.





.....terselit juga hasil kraftangan seperti di atas yang menunjukkan Yogyakarta sebenarnya sebuah kota dan pusat kebudayaan.



Antara barang perhiasan yang terdapat di Ansor's Silver.

Selasa, 7 Jun 2011

Sumur Gumuling & Masjid Bawah Tanah

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Bawah Tanah. Di sekeliling kraton dipenuhi dengan rumah-rumah dan bangunan kedai. Semasa berlakunya gempa bumi dari Gunung Berapi Merapi, penduduk Yogyakarta kehilangan tempat tinggal dan mereka ditawarkan oleh sultan untuk membina petempatan di sekitar kraton. Sebelum sampai ke Masjid Bawah Tanah, kami sempat berhenti sejenak melihat ketekunan seorang pengukir wayang kulit menyiapkan tugasnya.


Menurut tukang pengukir ini, sebuah patung wang kulit seperti di bawah ini mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkannya. Sekiranya terputus atau silap ukir, habislah...... ukiran ini diperbuat daripada kulit lembu.


Kami tinggalkan tukang pengukir patung wayang kulit untuk ke destinasi seterusnya. Untuk sampai ke Sumur Gumuling atau Masjid Bawah tanah, kami perlu melalui terowong bawah tanah.



...menuruni anak tangga memasuki pintu gerbang Masjid Bawah Tanah.



Inilah terowong bawah tanah menuju ke masjid.



Di atas Sumur Gumuling iaitu kolam yang dikatakan tempat mengambil air sembahyang. Terdapat lima tangga dari pelbagai arah yang menunjukkan simbolik lima waktu sembahyang fardhu.



Seperti juga bangunan yang lain, Masjid Bawah Tanah tidak terkecuali dari mengalami reruntuhan akibat gempa bumi, perang dan cuaca.

Taman Sari

Huh.... lama sangat tak masuk library ni... dah bersawang penuh he he he... masih lagi cerita tentang Kraton Yogyakarta. Sebaik sahaja tamat lawatan di sekitar kraton, kami dibawa pula ke Taman Sari yang terletak di sebelah barat daya Kraton. Taman Sari ini dibina pada tahun 1758 Masehi dan selain tempat rekreasi keluarga diraja, taman ini juga berfungsi sebagai benteng pertahanan. Dikatakan tempoh pembinaannya mengambil masa kira-kira 4 tahun mulai 1687 - 1691 Tahun Jawa.


Ini ialah Gapura / Pintu Gerbang Taman Sari.



...dikelilingi pepohon nan menghijau, pelbagai jenis bunga-bungaan wangi seperti kenanga, cempaka, melati dan tanjung.


Terdapat pelbagai ciri dan unsur binaan seperti Jawa asli, Hindu, Buddha, Islam, Eropah dan China. Menurut penilaiannya, struktur bangunan ini diperbuat daripada bata dan simen serta campuran lepanya daripada air kelapa dan putih telur. Sebahagian bangunan di Taman Sari hanya tinggal reruntuhan disebabkan gempa bumi, perang dan hujan serta panas matahari, dan juga akar yang tumbuh di dinding bangunan.

Siapakah yang terlibat dalam pembinaan bangunan ini? Mereka ialah Pangeran Notokusumo (Paku Alam I), Tumenggung Mangundipuro, Prawirosetika (Bupati Madiun) serta orang Portugis (Demang Tegis).



Kami tinggalkan Taman Sari dengan seribu satu bayangan silam.... bagaimana rasanya menjadi puteri kraton...., membayangkan suasana tiga tempat yang berbeza iaitu Umbul Sari, yang terletak di selatan, sebuah kolam mandi yang khusus digunakan oleh sultan dan permaisurinya. Umbul Binangun pula yang terletak di tengah, diperbuat khas untuk permaisuri dan selir-selir sultan. Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, ketika para selir sedang mandi, sultan dan memerhatikan dari menara bangunan dan akan mencampakkan sekuntum bunga. Mana-mana selir yang berjaya mendapatkan bunga tersebut akan berpeluang untuk beradu bersama baginda pada malam tersebut. Manakala Umbul Muncar yang terletak di sebelah utara, disediakan khas untuk putera-puteri dan sentana sultan. Itu cerita dulu..... sekarang Taman Sari sudah tidak digunakan sebagai tempat permandian diraja.