Selasa, 10 April 2012

Dinner at Gazebo Garden Restaurant, Yogyakarta

Masih ada lagi rakaman gambar perjalanan ke Pulau Jawa yang belum sempat Amie masukkan ke dalam Amie's Home Library.  Oleh kerana kekangan waktu akhirnya Amie terus terlupa adanya gambar-gambar tersebut. Kali ini Amie ingin kongsi gambar kenangan sewaktu kami menikmati makan malam di Gazebo Garden Restaurant. Sekembalinya kami dalam keadaan letih dari kaki Gunung Merapi yang baru meletus itu, kami sempat membersihkan diri dan menunaikan solat jamak qasar Zohor dan Asar. Selepas itu kami bergegas meninggalkan tempat penginapan kami di Wisma Ary yang cukup indah dengan konsep Balinya, untuk menghadiri majlis makan malam seterusnya dijadualkan menonton teater Ramayana pada pukul 8.00 malam.


Suasana sekitar amat nyaman dan selesa. Gazebo Garden Restaurant ini boleh memuatkan sehingga 1,500 orang tetamu pada satu-satu masa. 


Kebanyakan pengunjung yang datang pada malam itu terdiri daripada pelancong Jepun, Belanda dan juga Perancis. Hidangan yang disediakan tidak jauh bezanya dengan yang kami biasa makan di hotel. Tauhu dan tempe memang merupakan menu wajib!


Nonie & Fauziah. Hanya tinggal kenangan. Nonie telah berpindah ke Negeri Sembilan awal tahun 2012, manakala Gee (Fauziah)  mendahului Nonie berpindah ke Terengganu akhir 2011.


Ketua kumpulan kami,  yang mengurus dan menjaga segala kebajikan kami, Veera Mahendra Rao juga berpindah ke Johor pada Disember 2011.


Kami dihiburkan dengan pelbagai lagu oleh kumpulan orkestra, tapi kami tidak faham apa yang dinyanyikannya. Kemunculan seorang penari yang sungguh ayu jelita menarik perhatian kerana tariannya begitu gemalai dan memukau!


Amie sempat bertanya kepada salah seorang pelayan di restoran ini, dan menurutnya penari wanita yang jelita ini sedang menarikan Tarian Golek Serimpi.


Sementara menunggu teater Ramayana bermula, sempat bersantai-santai di depan gazebo. Sebenarnya ketika ini, mata sudah kelihatan layu! Mengantuk kerana keletihan sepanjang hari menghabiskan masa mengunjungi Candi Prambanan dan juga mendaki kaki Gunung Merapi.

Tiada ulasan: