Sabtu, 4 Disember 2010

Sekuntum Bunga Kenangan



Walaupun zaman kanak-kanak telah berlalu, namun cerita-cerita dongeng yang pernah dibaca masih kekal dalam ingatan. Bermula dari bangku sekolah rendah, setelah menguasai asas membaca, memang saya tidak pernah melepaskan peluang meminjam satu demi satu buku cerita di perpustakaan. Rasanya habis semua buku di perpustakaan Sekolah Kebangsaan Dato Maharaja Lela, Jeram, Selangor telah dibaca. Tidak cukup dengan buku-buku yang tersedia di situ, kesempatan diambil untuk menjadi ahli perpustakaan bergerak pula.


Siang malam saya membaca pelbagai buku cerita termasuk siri penyiasatan Lima Sekawan, Tujuh Perisik oleh Enid Blyton, Siri Hardy Boys, Siri Salma, Siri Nancy Drew, cerita-cerita dongeng dari seluruh dunia dan selagi ia bernama buku cerita, memang itulah makanan utama saya.


Saya sanggup berjalan di bawah panas terik sejauh 4 batu semata-mata untuk meminjam dan memulangkan buku di perpustakaan. Apabila lampu kehabisan minyak, saya tetap meneruskan bacaan di bawah cahaya bulan yang suram....oh...bayangkan pada masa tersebut, media pandang dengar seperti televisyen belum menguasai kehidupan awal saya kerana keluarga tidak mempunyai kemampuan untuk membelinya. Jadi, tidak hairanlah sekiranya bahan bacaan menjadi tumpuan utama. Walaupun masih di peringkat sekolah rendah tetapi saya mampu menghabiskan bahan bacaan kesusasteraan peringkat SPM milik kakak saya. Setelah dewasa barulah saya menyedari bahawa membaca bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahun malah dapat merangsang imaginasi  dan otak kita mampu meneroka ke alam lain selain alam kenyataan yang sedang dilalui.
Sebuah kenangan paling indah yang tidak mungkin dapat saya lupakan berlaku pada tahun 1979. Ketika itu  saya berada di dalam darjah 5 Kuning. Guru kelas saya bernama Cikgu Rosman. Beliau mengumumkan dalam kelas bahawa satu pertandingan bercerita akan diadakan sempena Minggu Perpustakaan sekolah kami. Dua orang murid dari kelas kami dipilih untuk menyertai pertandingan tersebut. Malangnya saya tidak terpilih. Saya hanya memendam rasa rendah diri dan malu untuk menyatakannya kepada Cikgu Rosman. Tiba pada hari pertandingan, salah seorang peserta dari kelas saya menarik diri kerana kurang bersedia. Cikgu Rosman kelihatan sangat kecewa. Seorang demi seorang dalam kalangan kami ditanya oleh Cikgu Rosman....semuanya menyatakan tidak sanggup. Apabila soalan diajukan kepada saya.... saya terus menyetujuinya dengan rasa penuh yakin walaupun tanpa sebarang persediaan dan pertandingan akan dimulakan dalam tempoh setengah jam. Cikgu Rosman meminta Saripah, rakan baik saya menemani saya ke bilik pertandingan. Berbekalkan keyakinan dan memang sudah tersimpan pelbagai cerita di dalam kotak fikir saya, saya hanya memilih sahaja cerita yang benar-benar menarik pada perkiraan saya. Saya masih ingat lagi, seramai 30 orang peserta menyertai pertandingan tersebut dan dengan tangan terketar-ketar menggigil sejuk ketakutan saya mencabut undi...ah .. tempat ke 11.
Saya menyaksikan 10 peserta telah menyampaikan cerita dengan gaya persembahan yang baik dan menarik. Rasa gugup kian terasa kerana menjadi 'bidan terjun'.

Bismillah...saya melangkah ke tengah gelanggang...... pada zaman dahulu, terdapat seorang raja........dan sebenarnya cerita tersebut saya beri tajuk sendiri, kisah bercampuraduk menjadi versi terbaru bertajuk Puteri Cempaka. Wah....sungguh saya tidak sangka, Cikgu Rosman pun tidak menduga,  apabila saya diumumkan sebagai pemenang tempat pertama! Saya pulang ke rumah dengan penuh debaran... menunjukkan kepada emak dan ayah, sebuah buku bertajuk Hayatnya Tinggal Sepuluh Minit Sahaja tulisan Syahidan Mohd.Noh...  hadiah saya sebagai pemenang pertandingan bercerita.... dan saya mengharapkan emak dan ayah tidak lagi memarahi saya kerana kata mereka saya membuang masa dengan sia-sia membaca buku cerita....


Tiada ulasan: