Sabtu, 31 Disember 2011

Tulisan Cerminan Personaliti Diri

Tajuk: Panduan Menganalisa Tulisan Tangan - Tulisan Cerminan Personaliti Diri
Penulis: Khadihah Ibrahim
Penerbit: Ameen - 2007



Buku ini menyelongkar tentang personaliti diri yang tersendiri. Ciri-ciri personaliti yang dipaparkan merangkumi corak pemikiran, unsur emosi dan juga tabiat diri yang boleh dibaca dengan mudah melalui penganalisaan tulisan tangan. Ini adalah kerana proses menulis merupakan cernaan minda yang membentuk lakaran dan gaya tulisan yang unik sebagaimana uniknya personaliti diri seseorang itu. Buku yang serba mudah untuk difahami ini mengetengahkan tentang kedalaman emosi, perasaan dan cara pemikiran diri kita dan orang lain yang ingin kita kenali.

Anda tidak rugi untuk memiliki buku ini kerana selain menambah ilmu pengetahuan, buku ini juga mendorong kita untuk mengubah cara pemikiran dari negatif kepada yang lebih positif. Buku ini juga telah berjaya membongkar rahsia tulisan  penerima Hadiah Nobel bagi Fizik 1921 iaitu Albert Einstein,  juga Tony Blair, iaitu Perdana Menteri Britain. Analisa tulisan tangan juga dibuat ke atas Ted Bunday iaitu seorang pembunuh bersiri yang sangat dikehendaki di Amerika Syarikat dan juga Jeffrey Archer, seorang novelis kelahiran Somerset yang terkenal.

Jumaat, 30 Disember 2011

Fatwa Pujangga

Telah kuterima suratmu nan lalu
Penuh sanjungan kata merayu
Syair dan pantun tersusun indah sayang
Bagaikan madah fatwa pujangga


Kan kusimpan suratmu nan itu
Bak pusaka yang amat bermutu
Walau kita tak lagi bersua sayang
Cukup sudah cintamu setia


Tapi sayang sayang sayang
Seribu kali sayang
Ke manakah risalahku
Nak ku alamatkan


Terimalah jawapanku ini
Hanya doa restu Ilahi
Mogalah bang / dik kau tak putus asa sayang
Pasti kelak kita  'kan bersua

Penyanyi asal lagu Fatwa Pujangga ialah S. Effendi dari Indonesia. Lagu yang memiliki semikata yang indah ini pernah dinyanyikan oleh Biduanita Syarifah Aini, Aishah dan juga Andre Goh.
Apakah yang menyebabkan lagu ini begitu diminati sehingga dirakamkan berkali-kali oleh beberapa orang penyanyi yang berbeza? Sekiranya anda benar-benar menghayati lagu ini, sebenarnya ia tercipta menggunakan hati dan naluri yang amat tulus untuk menyampaikan hasrat hatinya kepada seseorang yang sangat ingin ditemuinya. Dalam lagu ini dilukiskan seorang watak lelaki (sekiranya yang menyanyi itu lelaki seperti S. Effendi dan watak seorang wanita sekiranya yang membawa lagu tersebut ialah seorang wanita seperti Syarifah Aini), yang menerima sepucuk surat dari seseorang. Penerima surat tersebut sangat teruja dengan keindahan susunan kata oleh si pengirim sehingga menganggapnya sebagai sesuatu yang amat bermakna dan berharga seumpama barang pusaka atau warisan yang tak tenilai. Dalam erti kata lain, ayat-ayat yang dikarang oleh pengirim berjaya menyentuh hati dan perasaan penerimanya walaupun mereka belum pernah bersua.

Penerima ingin membalas warkah tersebut tetapi tidak tahu ke mana harus dikirimkan kerana selain tidak mengetahui siapa pengutusnya, surat tersebut juga tidak menyertakan alamat pengirimnya. Penerima surat akhirnya memutuskan untuk menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi, mengharapkan sebuah pertemuan sekiranya diizinkan Tuhan pada suatu hari. Dengan doa dan harapannya ini mudah-mudahan hasrat hati dan keinginannya untuk bersua muka dengan pengirim warkah akan terlaksana walaupun tidak akan diketahui bilakah masa itu akan tiba!

Art Therapy : Gabungan Art & Psikologi

Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Tempat :        Sanbay Hotel Sandakan
Tarikh   :                1 November 2011
Penceramah  :  Prof. Madya Mohd. Makzan Musa 
                     Jabatan Siswazah Psikologi & Kaunseling
                     Kolej Sastera dan Sains
                     Universiti Utara Malaysia


Pengenalan:
Art therapy pada asasnya adalah kacukan daripada dua disiplin  - art dan psikologi. Gabungan kedua-dua bidang ini mengenengahkan ciri-ciri utama setiap satu bidang ini hingga membentuk entiti tersendiri (Vicks, 2003).

Gabungan mantap kedua-dua bidang ini membentuk pendekatan art therapy yang begitu luas ruang lingkupnya dengan fungsi teraputik dalam proses rawatan dan pemulihan psikososial. Sebagai satu disiplin unik, tersendiri dengan kelebihan aspek-aspek psikologikalnya, pendekatan art therapy dipraktikkan dengan meluas di Eropah, Amerika Syarikay, Kanada dan Australia untuk merawat dan memulihkan permasalah-permasalahn psikososial klien (Edwards, 2004). 

Aspek praktikal bidang art therapy ke arah kesejahteraan psikologikal individu menjadikan bidang ini sebagai kaedah bantuan menolong yang popular di barat sejak lebih dari empat puluh tahun lalu. (Sheerwood, 2003)

Bidang art melibatkan aspek visual yang menggunakan bahantara dengan mencipta imej (Gilroy,2006)

Dan terapi melibatkan aspek terapan disiplin psikologi dalam proses rawatan dan pemulihan psikologikal (Karkau & Sanderson, 2005).

Proses rawatan dan pemulihan berlaku semasa mencipta art. Dalam perkara ini luahan visual dalam bentuk art menzahirkan pengalaman-pengalaman psikologikal yang menyakitkan dan konflik daam diri. Tumpuan pada pembentukan imej art dengan pelbagai cara dan gaya adalah antara proses-proses kreati yang berlaku sewaktu klien melukis. Aspek psikologikal pendekatan art therapy telah dikenalpasti dapat menggalakkan ke arah pertumbuhan dan perkembangan personal,kesejahteraan diri dan kesihatan mental. (Malchiodi, 2007).

Mencipta art sebagai suatu bentuk terapi diiktiraf dalam bidang psikologi, kaunseling dan perubatan (McNiff, 2003).

Pengiktirafan dari tiga bidang dari disiplin tingkah laku ini menyemarakkan kajian dan penerapan art therapy dalampelbagai kaedah bagi membantu klien mengendalikan pelbagai isu psikososial termasuk trauma. Menurut Malchiodi (2007) penggunaan art di hospital yang telah lama diamalkan memupuk kepada perkembangan bidang art therapy. Konsep, model perubatan terutamanya dalam bidang psikiatri yang membabitkan aspek diagnosis, penyakit dan rawatan turut mempengaruhi school of thought bidang pskoterapi termasuk art therapy. Kefahaman ke atas gabungan antara bidang biokimia, kesihatan mental, kreativiti terus berkembang membawa kepada pengkhususan khas dalam bidang perubatan dan perubatan arts (Malchiodi, 1998).

Bersambung.

Khamis, 29 Disember 2011

Mengenali Potensi Diri Melalui Tarikh Lahir

Seminar Anjakan Rahsia Diri
(Mengenali Potensi Diri Melalui Tarikh Lahir - Melalui Kaedah Sains Metafizik)
Tempat: Bilik Kuliah Kompleks Sukan Sandakan
Tarikh :  23 Disember 2011
Masa  : 7.30 malam- 11 .00 malam


Amie telah menghadiri seminar ini atas saranan seorang rakan dari Kota Kinabalu. Walaupun tempoh seminar yang singkat (1/3 dari jumlah perjalanan), namun sekurang-kurangnya Amie  mendapat idea, ilmu dan pengalaman baru.

Mungkin ramai yang pernah menghadiri seminar ini ataupun pernah mendengar tentang isu ini. Seminar ini bukan bertujuan untuk mengajar kita meramal nasib atau menilik nasib seperti ahli nujum! Jadi, sesiapa yang berminat hendaklah memahami terlebih dahulu penjelasan yang diberi seperti berikut:

1. Kaedah ini adalah Kajian Sains Manusia dan BUKAN berkaitan dengan agama atau kepercayaan. BUKAN ajaran sesat atau tahyul dan ia bertujuan untuk membuat strategi peningkatan diri sahaja.

2. Kaedah ini tidak menentukan masa depan anda. Ia hanya memberi beberapa panduan untuk mengenal pasti potensi diri.

3. Peringatan untuk umat Islam: Kaedah ini hanyalah berdasarkan kajian Sains Kelakuan Manusia yang dirujuk dari berbagai sumber. Ia bukan ramalan masa depan anda tetapi satu kaedah untuk menentukan strategi terbaik dalam meningkatkan lagi potensi diri.

4. Kaedah ini tidak menentukan kejayaan atau kegagalan dalam hidup anda.

5. Di sini mungkin ada keterangan yang menyinggung perasaan dan sensitif.

6. Anda dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menentukan masa depan orang lain.

7. Anda tidak perlu percaya apa yang dipelajari CUMA anda diminta membuat perbandingan dengan apa yang selama ini anda lalui dan anda berhak menentukan samada segala kaedah ini betul atau tidak!


ANDA MUNGKIN MEMILIKI KEHEBATAN YANG TERPENDAM SELAMA INI! ANDA SEPATUTNYA LAGI HEBAT DARI YANG ANDA SANGKAKAN SELAMA INI!