Cuaca amat cerah sewaktu bas parawisata meluncur meninggalkan Candi Prambanan menuju ke kaki Gunung Merapi. Melihat panorama indah di kiri kanan jalan dengan pemandangan sawah padi subur menghijau dan deretan rumpun buluh, kami sedikit pun tidak membayangkan bagaimanakah keadaan kaki Gunung Merapi yang baru sahaja meletus pada 26 Oktober 2010 yang lalu dan ini bermakna, kami mengunjungi tempat yang kira-kira 5 bulan yang lalu mengalami musibah.
Ini adalah antara pemandangan di salah sebuah di antara 9 permukiman yang dilanda gempa bumi. Di kiri kanan jalan orang ramai mendirikan rumah-rmah sementara yang diperbuat daripada buluh.
Menjejakkan kaki buat pertama kali di daerah padang jarak padang tekukur.... di belakang kami ialah belahan bumi yang menjadi sungai debu,pasir dan batu dari Gunung Merapi.Pada mulanya kami menyangka sungai yang kering kontang tetapi ini merupakan laluan larva akibat letusan Gunung Merapi yang meranapkan 9 perkampungan, dan beratus-ratus buah rumah serta mengorbankan banyak nyawa, harta benda serta haiwan ternakan terutamanya lembu tenusu.
Ini bukan cuaca mendung, tetapi latar belakang Gunung Merapi yang sedang dilitupi asap bercampur awan, kerana gunung ini masih aktif.
Antara batu-batan, pasir dan debu yang berterbangan semasa letusan berlaku. Sebenarnya ketika ini bau asap belerang menyengat hidung..... batu-batan masih lagi mengeluarkan asap....
Batu-batan yang meletup terbang melebihi 25 km (kami sempat melihat batu tersebut yang masih berasap dalam perjalanan ke Candi Borobudur keesokan harinya). Bolehkah anda bayangkan cerita di sebalik padang jarak padang tekukur ini.... perkampungan yang subur, beratus-ratus buah rumah, penduduk yang aman dan makmur, haiwan ternakan yang meragut rumput menghijau....
Amie dan Veera memberanikan diri membonceng motosikal yang dibawa oleh penduduk tempatan sejauh 3km dengan bayaran Rp35.000 setiap seorang. Amie terlupa untuk bertanyakan nama yang membawa Amie naik motosikal - seorang ibu yang bangkit kembali untuk meneruskan kehidupan selepas letusan.
Kami menunggu beberapa minit sementara kabus dan awan tebal beralih ke tempat lain untuk melihat sendiri puncak Gunung Merapi yang sentiasa berasap itu.....
Lama-kelamaan kabus dan awan beransur-ansur pergi ditiup angin. Inilah rupa Gunung Merapi.....
Pemandangan di kaki Gunung Merapi.
Sebahagian rumah yang ranap, yang lain hancur atau tertimbus oleh batu dan pasir gunung berapi, dan juga dibawa arus panas gunung berapi ke tempat lain.
Gunung Merapi kelihatan tenang, tapi tidak siapa menyangka.... letusannya tidak pernah mengenal erti belas. Gunung berapi paling aktif di Jawa Tengah ini dikatakan telah meletus sebanyak 70 kali semenjak 1548. Kami difahamkan semasa letuhan berlaku pada Oktober 2010, selama 2 minggu langit sekitar Yogyakarta berada dalam keadaan gelap gelita. Abu debu ada di mana-mana. Semua kegiatan penduduk terhenti.
Kami mengucap beribu-ribu syukur, insaf akan kebesaran Ilahi. Kehidupan di negara kita jauh lebih baik dan selamat berbanding di sini, kami terkenang kemakmuran dan kekayaan di negeri sendiri..... kami tiada pilihan, itulah jawapan wanita yang membonceng Amie sewaktu menuju ke kaki Gunung Merapi.
Antara pondok persinggahan yang didirikan di bawah kaki gunung.
Tiada kata yang mampu diucapkan untuk menceritakan keadaan yang dialami, hanya gambar sebagai bukti untuk membenarkan peristiwa itu....
Kami meninggalkan kaki gunung ini dengan pelbagai perasaan yang sukar digambarkan....
Moga mangsa gempa bumi bangkit semula dengan semangat baru untuk meneruskan kehidupan yang sememangnya menjanjikan risiko buat mereka.....
Berehat di dalam pondok buluh.