Selasa, 25 Disember 2012

Renung Bersama VIII

Jika anda tidak berani dan tidak sanggup bekerja untuk kemajuan, tidak ada orang yang akan memajukan anda. Sebenarnya semua orang mempunyai kesempatan memperlihatkan kecekapannya.
~Filsuf~

Percaya tenaga sendiri, peganglah nasib hidup dengan kedua-dua belah tangan, dan ubahlah nasib mengikut kemahuan sendiri.
~Dr. Abu Hanifah~

Takdir dan untung nasib bukan sesuatu yang datang secara kebetulan. Ia melibatkan pilihan. Ia juga bukanlah sesuatu yang hanya perlu ditunggu, sebaliknya ia adalah sesuatu yang perlu dicapai.
~William Jennings Bryan~

Ilmu pengetahuan bukan ciptaan manusia tetapi rahsia takdir Tuhan yang dipinjamkan kepada manusia. Oleh itu, manusia tidak harus bersikap sombong dengan ilmu pegetahuan yang dimiliki malah sepatutnya bersyukur.
~Hamka~

Khamis, 4 Oktober 2012

Sijil Pacat

Pernah dengar tentang Sijil Pacat?



Jika anda berpeluang untuk ke Hutan Simpan Lembah Danum, pastikan anda telah digigit pacat untuk melayakkan diri  mendaftar sebagai penerima Sijil Pacat dengan bayaran RM5. Hi hi hiiiii.... siapa rela digigit pacat? Amie tidak sedar bila masanya binatang kecil ini menghidap darah di lutut yang siap bertutup dengan stoking tebal dan panjang! Al9h-alih nampak darah meleleh dari 3 tempat di bahagian kaki.... apalagi! Uwaaaaa.... berteriak sampai nak terkeluar anak tekak!!!! Tapi.... selepas itu boleh daftar dengan bukti kita telah menderma darah kepada pacat he he heh dengan bayaran RM5 untuk Sijil Pacat!!!!



Ahad, 9 September 2012

Ceri

Assalamualaikum.
Amie sempat mengambil beberapa keping gambar buah ceri di kampung. Nampak jauh bezanya pokok ceri zaman kanak-kanak Amie dengan pokok ceri sekarang. Lihat sahaja gambar di bawah, daunnya kelihatan tidak sihat. Kalau dulu sukar untuk melihat buah ceri masak di atas pokok, kerana ia menjadi rebutan kami serta burung-burung. Tapi sekarang, banyak pula buah ceri masak jatuh berguguran ke tanah.


Bintik-bintik pada daun ceri. Mungkinkah ia kesan pencemaran alam?



Teringin memetik dan menikmatinya tetapi timbul kebimbangan di hati tentang kebersihannya!  Namun masih terasa, betapa manisnya mengunyah buah ceri masak ranum suatu ketika dahulu!



Bukan sahaja pada daun, pada buah ceri juga terdapat kecacatan.



Bunga ceri ini kuabadikan buat anak cucu dan generasi akan datang yang mungkin tidak sempat mengenali apa itu pokok ceri, daun ceri, buah ceri apatah lagi bunga ceri!



Mungkinkah pada tahun-tahun mendatang bakal kutemui lagi pohon ceri yang rendang, daunnya sihat menghijau serta buah-buahnya yang ranum bergantungan?

Isnin, 3 September 2012

Rumah Api : Lambang Kuala Selangor

Assalamualaikum.
Jom jalan-jalan ke Bukit Malawati di Kuala Selangor. Semasa cuti Aidil Fitri minggu lepas, Amie sempat bawa anak-anak berjalan-jalan ke sekitar daerah Kuala Selangor untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah tempat kelahiran Amie.


Ini Rumah Api di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Ia siap dibina pada tahun 1907 dan merupakan lambang Kuala Selangor. Gambar ini diambil dari bahagian belakang bangunan Rumah Api.


Gambar di ambil dari sisi hadapan Rumah Api. Rumah Api ini menjadi isyarat kepada kapl-kapal yang menggunakan Selat Melaka samada dari arah selatan atau utara. Apabila hari beransur malam, lampu akan dipasang sekitar puku 7 petang sehingga pukul 6 pagi sebagai panduan kepada kapl-kapal yang sedang belayar di sekitar Selat Melaka.


Selangor Darul Ehsan - negeriku yang tercinta!


Ahad, 5 Ogos 2012

Dahsyatnya Cabaran Pelajar

Tajuk :Pelajar Bertanya Prof. Dr. Muhaya Menjawab Berkenaan Dahsyatnya Cabaran Pelajar.
Penulis : Muhaya Mohamad, MD,FRCS, Ph.D
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd 2012



Terima kasih Ustaz Hasnan Abu Bakar kerana telah menyarankan Amie membaca buku yang dibelinya baru- baru ini.  Dalam era serba moden ini, bergelar peajar menuntut kekuatan dari pelbagai sudut. Bukan sekadar mental, spiritual, dan emosi, malah fizikal yang perlu kuat.  Tiada individu yang terkecuali, tidak kira siapa pun dia. Pelajar Bertanya Profesor Doktor Muhaya Menjawab diilhamkan daripada persoalan dan pengalaman yang diajukan kepada beliau, selama 27 tahun berkhidmat sebagai doktor sehingga sekarang. Buku ini memang sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja kerana isi kandungannya merangkumi aspek :

Pelajaran
Susun skrip hidup supaya kita nampak matlamat hidup kita dengan jelas.

Fesyen
Setiap kali kita berpakaian, kita mempunyai dua pilihan, mahu memilih syurga ataupun neraka.

Perhubungan
Orang melayan kita sebagaimana kita melayan diri kita. Sekiraya kita tidak menghargai diri kita, orang lain juga tidak menghargai diri kita.

Kesihatan
Kita sakit bukan disebabkan kuman, tetapi kerana badan kita lemah. Apa yang melemahkan kita? Pemikiran negatif yang membuatkan kita lemah.

Kewangan
Jadikan amalan sedekah sebagai tabiat.

Dilema Dalam Diri
Apabila kita menjaga urusan akhirat, Allah menjaga urusan dunia kita.

Persahabatan
Apabila kita berlapang dada, masalah menjadi kecil. Apabila kita sempitkan dada, masalah menjadi besar.

Politik
Hormati pandangan orag lain kerana setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza.

Disiplin
Bagaimana cara membetulkan diri? Caranya adalah dengan perbetulkan cara kita berfikir.

Khamis, 21 Jun 2012

Bunga Halia Hutan

Jalan-jalan di Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, Sabah.


Bunga Halia Hutan?



Atau Bunga Halia Bara?



Cantik!

Selasa, 19 Jun 2012

Wanita Istimewa

Wanita Istimewa: 5 Gaya Hidup Wanita Cemerlang
Dr. Karim el-Shazly
Diterjemah dari karya asal: Imraah Min Tirazi Khas


Buku ini pemberian daripada rakan sekerja, UstazHasnan Abu Bakar. Terima kasih ustaz kerana memilih buku ini untuk bacaan tambahan yang sangat berguna. Terdapat 5 Gaya Hidup Wanita Cemerlang yang dibincangkan:

Gaya Hidup 1: Inisiatif
Gaya Hidup 2:  Diri Sendiri
Gaya Hidup 3- Menetapkan Matlamat
Gaya Hidup 4: Kebijaksanaan Dalam Bermasyarakat
Gaya Hidup 5: Mengurus Keutamaan

Inisiatif adalah keupayaan seseorang individu untuk mengawal kehidupannya, panduan dalam pelayaran untuk mencapai matlamat dan cita-cita ke destinasi yang dikehendakinya, berhadapan dengan cabarfan angin dan ribut taufan serta melepasi segala halangan dan rintangan.

Setiap orang dalam kehidupan ini bertanggungjawab terhadap tindakannya, dan setiap orang mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan.

Siapa itu wanita yang 'berinisiatif' dan wanita yang 'beremosi'?

Bil.
Wanita Yang Berinisiatif
Wanita Yang Beremosi
1
Peribadinya memancar dari  nilai-nilainya.
Peribadinya hasil daripada keadaan sekeliling yang melingkarinya.
2
Mengetahui kadar kemampuan dirinya dan tidak terkesan dengan kritikan yang buruk.
Suka dengan pujian yang berlebihan dan terlalu mudah mengkritik.
3
Sentiasa membicarakan keadaan semasa walaupun tidak diminta.
Hanya berbicara soal menyelesaikan masalah yang menimpa dirinya.
4
Meyakini apa yang sampai kepadanya hari ini merupakan hasil pilihan semalam.
Melihat setiap perlaksanaan itu dilakukan dengan tangannya, dan kegagalannya adalah disebabkan oleh keadaan sekeliling.
5
Tidak reda dengan keadaan dunia yang berada di bawah keadaan sekeliling, dan menjauhi rasa bangga diri.
Menerima keburukan-keburukan dalam sudut yang boleh memperbaiki kehidupan dan masa depannya.
6
Meyakini bahawa Allah SWT sentiasa memilih sesuatu yang terbaik untuknya.
Tidak tetap pendirian. Sentiasa mempersoalkan setiap perkara yang berlaku kepadanya dengan penuh kekecewaan.
7
Tidak akan berbicara melainkan menurut keyakinan dan kemampuannya untuk melakukannya.
Perkataan-perkataannya dan janji-janjinya sangat lemah untuk dicapai.
8
Memohon maaf tanpa rasa besar diri sekiranya melakukan kesilapan dan bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya, serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.
Tidak bertanggungjawab dengan apa yang dilakukannya, dan membenarkan kegagalannya dengan pelbagai cara.
9
Kejutan yang besar kadang-kadang menyakitkannya, dan kesukaran kadang-kadang membimbangkannya, tetapi peribadinya tidak sekali-kali bergoncang bahkan bertambah teguh.
Hilang rasional ketika berlaku musibah dan tidak mampu mengawal emosi.


Sabtu, 19 Mei 2012

Bunga Kemboja Merah



Gambar diambil selepas hujan.



Warna merah jambu yang sangat menarik!


Pokok bunga kemboja merah ditanam di dalam pasu.



Pokok bunga kemboja merah di halaman rumah.

Selasa, 15 Mei 2012

Belimbing

Suka makan buah belimbing? Buah yang berbentuk bintang setelah dipotong ini mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri. Selain vitamin C, belimbing juga membekalkan vitamin B & A untuk penggemarnya.


Terdapat pelbagai jenis belimbing termasuk belimbing besi dan belimbing madu yang manis. Kepada penggemar belimbing untuk masakan pula, mereka boleh gunakan belimbing buluh yang masam sebagai bahan dalam masakan yang dihasilkan. Gambar di atas merupakan buah  belimbing  yang sedang mula membesar, dan Amie rakam selepas hujan.
Lokasi : Batu 6, Kampung Cocos, Lahad Datu.
Halaman rumah Tuan Imam Haji Rilay bin Abip.



Untuk maklumat  lanjut berkaitan dengan belimbing, bolehlah klik ke Anim Agro Technology DI SINI.

Rabu, 25 April 2012

Candi Borobudur : 5 Bintang Untuk Pak Latif

Hari terakhir kami berada di Yogyakarta seperti yang dijadualkan pada 16 Mac 2011, kami meninggalkan tempat penginapan yang sungguh istimewa di Wisma Ary. Selepas bersarapan, kami bergerak menuju ke barat daya Yogyakarta. Perjalanan sejauh 40km itu telah menemukan kami dengan satu situasi yang sungguh luar biasa setelah di pinggir kota Yogyakarta kerana kami sempat menyaksikan sebuah batu yang diterbangkan sejauh 25km dari puncak Gunung Merapi. Bayangkan... ketika kami berada di Yogyakarta, kota kebudayaan ini baharu saja bersih dari debu gunung berapi kira-kira 5 bulan lepas setelah Gunung Merapi meletus pada 26 Oktober 2010. Dan, sesungguhnya batu bongkah yang begitu besar berada di tepi jalan itu sebenarnya masih mengeluarkan asap! Kami meneruskan perjalanan menuju ke Magelang, Jawa Tengah untuk lawatan ke Candi Borobudur. 




Barangkali kerana kebijaksanaan pemandung pelancong kami iaitu Pak Latif menjadikan kami benar-benar teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Candi Borobudur ini. Dengan sikap ramah-tamah dan berbudi bahasa serta banyak pengetahuan sejarah, Pak Latif memang boleh diberi 5 bintang sepanjang perkhidmatannya untuk kami pada hari tersebut!



Pemandangan dari  atas bahagian belakang Candi Borobudur  Kelihatan  gunung berapi sebagai latar belakang pemandangan indah di sini. 


Pak Latif menunjukkan debu dari Gunung Merapi yang meletus pada Oktober 2010, yang masih terdapat melekat di celah-celah binaan Candi Borobuudur.


Di hadapan Pak Latif (sebelahnya) ialah reflika seekor singa yang dikatakan dibina sempena memperingati jasa Sir Stamford Raffles dalam usahanya mencarigali semula binaan Candi Borobudur yang tenggelam akibat tertimbus oleh debu Gunung Merapi yang meletus.


Baharulah kami faham apa yang selama ini kami pelajari dan baca dari buku sejarah berkaitan dengan Sejarah Asia Tenggara terutamanya tentang Candi Borobudur. Pak Latif menerangkan satu persatu segala ukiran yang terdapat di bangunan tersebut. Selama ini memang selalu tercengang-cengang dan kurang memahami apa kaitannya candi dengan unsur sejarah dan tamadun manusia!


Oleh kerana terlalu banyak rakaman kisah dan peristiwa serta pelbagai pengetahuan yang kami perolehi di sini, Amie akan sambung semula maklumat lawatan ini kemudian.



Dari pintu masuk pejabat pelancongan, sehinggalah kami keluar semula dari kawasan monumen, Pak Latif tidak henti-henti bercerita, berkongsi maklumat tentang bangunan bersejarah ini. Kalau pak Latif jadi Pak guru, memang dijamin semua murid akan berminat untuk belajar sejarah! Cara Pak Latif bercerita sahaja sudah menunjukkan Pak Latif tidak memerlukan sebarang alat bantuan mengajar untuk memahamkan si pendengar!


Seperti juga di Candi Prambanan, suasana di sekitar Candi Borobudur sangat nyaman dengan tiupan angin yang semilir. Banyak pepohon rendang di tanam di sekitar kawasan. Menurut Pak Latif, antara pokok yang ditanam termasukkan pokok bodi, tempat Siddharta Gautama Buddha bertapa untuk mencari pencerahan.



Gunung Merapi yang gagah diselaputi awan di belakang Candi Borobudur.


Sesi lawatan kami ke Yogyakarta, kota sejarah dan budaya berakhir di sini. Kami akan meneruskan perjalanan kembali ke Bandung.

Selasa, 24 April 2012

Candi Prambanan

Kira-kira 17km jaraknya dari pusat kota Yogyakarta, kami berkesempatan mengunjungi bangunan setinggi 47 meter terletak di sebuah lapangan yang dikelilingi oleh pohon-pohon bunga tanjung yang rendang dan berbunga harum. Inilah Candi Prambanan yang dikatakan Candi Hindu tercantik di dunia. Candi ini dibina sekitar abad ke 10 di bawah pemerintahan   dua raja iaitu Rakai Pikatan dan Rakai Balitung. Ketika kami tiba di sini, masih terdapat kesan-kesan debu dari Gunung Merapi. Kerja-kerja membaikpulih juga sedang dijalankan dan sebahagian kawasan merupakan kawasan larangan untuk dimasuki kerana terdapat kerosakan akibat gempa bumi yang sedang dibaiki.


Menurut Pak Agung, pemandu pelancong kami, di sekitar Candi Prambanan terdapat lebih 200 buah candi yang kecil tetapi sebahagian besarnya telah runtuh akibat  gegaran gempa bumi dan letusan Gunung Merapi yang sentiasa aktif. 


Walaupun cuaca amat panas dan terik, tetapi angin yang bertiup menyebabkan suasana menjadi nyaman dan menyelesakan. Memang berpeluh-peluh kami dibuatnya ketika memanjat anak-anak tangga untuk sampai ke setiap tingkat bangunan ini. Setiap anak tangga mempunyai simboliknya yang tersendiri kerana dalam ajaran agama Hindu, terdapat tingkat atau taraf dan kasta manusia. 





Ramai pelancong asing mengunjungi tempat ini. Bagaimanapun sebenarnya anak-anak sekolah juga memenuhi beberapa ruangan bangunan tersebut untuk mempelajari sejarah dan budaya  negara mereka.



Menurut Pak Agung lagi, terdapat lagenda di sebalik kisah pembinaan candi ini. Bandung Bondowoso mencintai Roro Jonggrang tetapi cintanya tidak bersambut. Namun begitu Roro Jonggrang meminta Bandung Bondowoso membina 1000 buah candi dalam tempoh satu malam dan mesti disiapkan sebelum pagi menjelang. Sampai di sini, cerita Pak Agung terhenti kerana kami sudah sampai ke pintu keluar untuk menunaikan solat. Cerita terhenti setakat itu sahaja. Amie teringat Roro Jonggrang itu sama sebutannya dengan Perusahaan Batik Jonggrang yang kami lawati sebelum ini. Agaknya ada kaitankah nama ini?


Pemandangan di luar bangunan. Kelihatan rusa peliharaan sedang merehatkan diri dan ada juga yang sedang meragut rumput.


Bentuk Candi Prambanan dilihat dari dekat.


Bahan binaannya terdiri dari batu gunung berapi yang diangkut dari Gunung Merapi.

Rabu, 11 April 2012

Persembahan Teater: Ramayana

Selepas menikmati hidangan malam di Gazebo Garden Restaurant, kami menjamu mata pula dengan menonton persembahan Teater Ramayana yang terletak bersebelahan dengan GGR. Ia merupakan panggung terbuka.


Pintu masuk ke Open Teater Ramayana Ballet.




Para pelakonnya memang berbakat dan kami difahamkan ada di antara mereka masih lagi anak-anak sekolah. Lakonan mereka hidup! Berbaloi-baloi dengan harga tiket yang beratus ribu rupiah itu! Amie terpikat dengan kain batik lepas yang dipakai oleh Rama & Sita kerana sebelum ini kami telah mengunjungi pusat membatik dan kain yang dipakai oleh kedua-dua watak ini memang jenis kain yang berkualiti tinggi! Amie sempat bertanya kepada pengusaha batik tersebut dan menurutnya kain ini dihasilkan dalam tempoh 3 bulan! Batik lukis.... harganya....juta-juta rupiah! Memang halus dan cantik!
Walaupun kami tidak faham bahasa yang dituturkan (Jawa Halus), tetapi tetap tidak berganjak selama 1 jam setengah menyaksikan persembahan yang sungguh mengasyikkan ini.


Persembahan telah berakhir. Lakonan mereka sungguh mantap, dan sudah semestinya mereka telah berlatih bersungguh-sungguh di samping memiliki stamina yang cukup kuat kerana banyak adegan ataupun babak lasak yang dipertontonkan. Kami kembali ke Wisma Ary dan bermimpi jadi Sita Dewi yang cantik jelita!

Selasa, 10 April 2012

Dinner at Gazebo Garden Restaurant, Yogyakarta

Masih ada lagi rakaman gambar perjalanan ke Pulau Jawa yang belum sempat Amie masukkan ke dalam Amie's Home Library.  Oleh kerana kekangan waktu akhirnya Amie terus terlupa adanya gambar-gambar tersebut. Kali ini Amie ingin kongsi gambar kenangan sewaktu kami menikmati makan malam di Gazebo Garden Restaurant. Sekembalinya kami dalam keadaan letih dari kaki Gunung Merapi yang baru meletus itu, kami sempat membersihkan diri dan menunaikan solat jamak qasar Zohor dan Asar. Selepas itu kami bergegas meninggalkan tempat penginapan kami di Wisma Ary yang cukup indah dengan konsep Balinya, untuk menghadiri majlis makan malam seterusnya dijadualkan menonton teater Ramayana pada pukul 8.00 malam.


Suasana sekitar amat nyaman dan selesa. Gazebo Garden Restaurant ini boleh memuatkan sehingga 1,500 orang tetamu pada satu-satu masa. 


Kebanyakan pengunjung yang datang pada malam itu terdiri daripada pelancong Jepun, Belanda dan juga Perancis. Hidangan yang disediakan tidak jauh bezanya dengan yang kami biasa makan di hotel. Tauhu dan tempe memang merupakan menu wajib!


Nonie & Fauziah. Hanya tinggal kenangan. Nonie telah berpindah ke Negeri Sembilan awal tahun 2012, manakala Gee (Fauziah)  mendahului Nonie berpindah ke Terengganu akhir 2011.


Ketua kumpulan kami,  yang mengurus dan menjaga segala kebajikan kami, Veera Mahendra Rao juga berpindah ke Johor pada Disember 2011.


Kami dihiburkan dengan pelbagai lagu oleh kumpulan orkestra, tapi kami tidak faham apa yang dinyanyikannya. Kemunculan seorang penari yang sungguh ayu jelita menarik perhatian kerana tariannya begitu gemalai dan memukau!


Amie sempat bertanya kepada salah seorang pelayan di restoran ini, dan menurutnya penari wanita yang jelita ini sedang menarikan Tarian Golek Serimpi.


Sementara menunggu teater Ramayana bermula, sempat bersantai-santai di depan gazebo. Sebenarnya ketika ini, mata sudah kelihatan layu! Mengantuk kerana keletihan sepanjang hari menghabiskan masa mengunjungi Candi Prambanan dan juga mendaki kaki Gunung Merapi.