Macam-macamlah yang kami temui dan pelajari sepanjang perjalanan pada petang 14 Mac 2011. Antaranya menterjemah maksud papan tanda yang berbunyi: Hati-hati Daerah Rawan Kecelakaan (Kawasan Kemalangan), Tikungan Tajam (Selekoh Merbahaya), Kurangi Kecepatan, Sabok Pengaman dan sebagainya. Kedai gunting rambut biasanya memaparkan papan tanda: Pangkes Rambut atau Cat Rambut. Oleh kerana selalu sangat melihat kolamikan di tepi rumah, kami tanya Pak Dedi... apa jenis ikan yang dipelihara. Ikan mas....ikan emas (kita pelihara untuk hiasan tapi mereka makan), ikan gurame (ikan kaloi yang Amie cerita dalam segmen Dapur Sangkuriang tu), dan ikan talapia. Amie tak sempat ambil gambar kereta kuda, dan juga petani yang sedang menampi padi, bukan apa... bateri kamera dah habis! Kawan-kawan yang lain pun mula kehabisan bateri...kena jimat dong... rakam gambar yang penting & menarik saja. Sebenarnya banyak yang menarik...misalnya, bentuk tong gas yang kecil (kami gelar gas kontot), hanya seberat 3 kg sahaja. Menurut Pak Dedi, pengguna hanya mampu membeli setakat itu sahaja....
Pemandangan sawah padi di waktu senja........ hening sekali. Kadang-kadang hati rasa sayu....tak tahu kenapa, bila melihat tunggul-tunggul padi dibakar, .... apalagi melihat tanaman padi sehingga menyentuh dinding rumah. Nampaknya penduduk di sini sangat memaksimumkan pengunaan tanah.... dan ketika malam menjelang, hanya sebiji lampu terpasang dengan cahaya malap di setiap rumah... sangat berhemat....
Walaupun banyak papan tanda amaran: Dilarang Saling Mendahului, nampaknya bas yang kami naiki tetap mendahului yang lain walaupun sebenarnya jalan sempit..... jalan di sini tidak seluas ukuran di tempat kita. Menurut Pak Dedi, jangka masa perjalanan 10 jam akan menjadi 12 jam sekiranya tidak memandu laju. Sudahlah duduk di belakang dekat tayar, melambung-lambunglah badan dibuatnya. Pejam celik pejam celik, hari hampir menjelang malam. Sejak berhenti di Purwokerto petang tadi kerana menyelesaikan qada' hajat, bas terus berlari kencang meninggalkan Sungai Citandoi, melintasi landasan keretapi, terlihat keretapi dari Yogyakarta di Kutoarjo namun sempat juga kami melihat gerai-gerai menjual pelbagai makanan di tepi jalan. Antaranya termasuklah Gerai Sate Bebek, Gerai Soto Babat.... Soto Gombong, Wedang Angkring dan entah apa lagi..... dan akhirnya kami sampai ke Jalan Malioboro... sementara Veera asyik menyebut tentang nasi gudeg dan sambal krecek... apa tu?
Susunan motosikal yang begitu banyak di tepi Jalan Malioboro memberi tanda tentu ada sesuatu yang menarik di kawasan ini. Begitu juga dengan beca dan kereta kuda... nantilah kita lihat seterusnya. Yang penting sekarang perut yang kosong perlu diisi terlebih dahulu. Pak Dedi membawa kami ke Lesehan Pojok. Katanya lesehan membawa maksud duduk di atas tikar...maknanya kami duduk atas tikar untuk makan. Menurut Pak Dedi lagi, hidangan makanan di Jawa Tengah berbeza sedikit dengan makanan di Jawa Barat. Kami diperkenalkan dengan nasi gudeg....
Gudeg ialah sayur nangka muda dimasak bersama ramuan tertentu dan rasanya manis. Gudeg dihidangkan bersama nasi, dengan kuah santan yang pekat disebut areh, ayam kampung, sebiji telur ayam , tauhu dan sambal krecek. Katanya inilah makanan istimewa di Yogyakarta kerana lesehan begini terdapat di sepanjang jalan dan dikunjungi orang ramai. Bagaimanapun, Amie tidak dapat menghabiskan kesemua sepinggan nasi gudeg komplit yang dipesan kerana tekak masih terasa perit dan badan mula panas sejuk. Nak demamlah tu....
Telur ayam rebus tersembunyi di dalam lauk yang lain, warnanya telur tu gelap......
Inilah suasana makan malam kami di lesehan Jalan Malioboro.... kami juga dihiburkan oleh pemuzik & penyanyi jalanan. Kesian tengok seorang penyanyi jalanan datang ke tempat kami dan meminta kami sebutkan lagu yang kami mahu.... sayangnya kami pun tak tahu apa lagu yang kami mahu. Dia tahukah nyanyikan lagu M. Nassier, Sudirman atau Amy Search? Akhirnya penyanyi jalanan itu menyanyi sendiri.... lagu apa tu... kawan katan itu lagu ST 12... Jangan Pernah Berubah. Amie tanya Pak Dedi, kena bayar berapa? Pak Dedi kata, nak bagi boleh, tak bagi pun tak mengapa. Kalau nak bagi juga, hulurlah dalam Rp2,000. Bila selesai menyanyi, penyanyi jalanan tadi bertanya lagi... mahu lagu apa buk? Lalu Amie jawab... boleh nyanyi lagu Indonesia Raya? Penyanyi jalanan tadi terdiam seketika dan kemudian menganggukkan kepala... entah betul entah tidak apa yang dinyanyikan tu...he he...
Lepas habis nyanyi Amie hulur Rp2,000 dan penyanyi itu mengucapkan terima kasih, terus bangun meninggalkan kami. Apa kata Zana... oohhh selagi tak bagi duit dia nyanyi, dah bagi duit dia terus cabut..... di sebelah menyebelah kami ada ramai lagi penyanyi jalanan, siap berkumpulan dengan alat-alat muzuk yang besar2...sesekali memandang pula ke arah kami. Alamak.... mesti lepas ni datang pula menyanyi di tempat kami..., ha cepat sikit makan...
Inilah penyanyi dan pemuzik jalanan secara berkumpulan. Apa pun sebenarnya kami sangat kagum dengan usaha gigih penduduk di sini mencari sesuap nasi. Datang pula pelukis jalanan untuk memotret wajah kami, tapi tiada seorang pun di antara kami yang berminat. Mungkin keletihan lebih 10 jam dalam perjalanan, kami ingin segera berehat. Syurga membeli belah dari pagi hingga larut malam Jalan Malioboro yang dipenuhi pelbagai ragam penghuninya, kami tinggalkan. Apa yang dapat kami saksikan melalui tingkap bas ialah gedung-gedung menjual pakaian terutamanya batik, jualan hasil kraftangan, susunan beca, kereta kuda dan sebagainya. Bas terus meluncur laju meninggalkan Jalan Malioboro yang dingin, menuju ke Jalan Suryodiningrat.... Ary's Hotel. Oh... tidak sabar rasanya ingin menyirami seluruh tubuh dengan air hangat, solat dan merehatkan diri.
Info:
Jalan Malioboro terletak di antara Tugu hingga Kraton. Ada pendapat yang berbeza mengenai asal usul nama Malioboro. Sesetengah pendapat mengatakan Malioboro berasal dari perkataan Marlbrough, seorang Jenderal Inggeris pada masa pemerintahan Sri Sultan Hamengku Buwono II. Stamford Raffles yang menamakan demikian (Jalan Marlbourgh) sebagai nama jalan di pusat Kota Yogyakarta. Pendapat lain pula mengatakan nama tersebut berkaitan dengan cita-cita Sultan Hamengku Buwono I, yang melihat jalan tersebut sebagai Mulyane Saka Bebara (Mulyabara) yang kemudian disebut sebagai maliyabara atau malioboro yang bermaksud kemuliaan dan kejayaan hidup yang dicapai hasil sikap prihatin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan