Khamis, 19 Januari 2012

Art Therapy: Kaedah Penyelidikan

Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Tempat          :     Sanbay Hotel Sandakan
Tarikh           :     1 November 2011
Penceramah  :      Prof. Madya Mohd. Makzan Musa 
                           Jabatan Siswazah Psikologi & Kaunseling
                            Kolej Sastera dan Sains
                            Universiti Utara Malaysia


Kaedah Penyelidikan Art Therapy

Pendekatan penyelidikan dan amalan dalam art therapy secara umumnya unik dengan keragaman saintifik dalam pelbagai kerangka mazhab-mazhab utama dalam bidang psikologi, kaunseling dan psikoterapi. Kaedah art therapy dilakukan secara kualitatif. namun kajian-kajian kualitatif yang menggunakan imej dan visual dipinggirkan (Prosser, 1998 dalam Gilroy, 2006) apa lagi di Malaysia. Ini kerana kajian-kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif lebih tertumpu pada teks. Imej dan visual cuma digunakan sebagai ilustrasi dalam bentuk rajah dan tidak digunakan sebagai satu kaedah penyelidikan sebagai sumber primari data.

Pendekatan kualitatif dalam bidang art therapy antaranya tertumpu kepada kaedah kajian kes. Melalui kajian-kajian kes art therapy, hasil lukisan klien adalah data dan alat yang mana ia turut digunakan dalam sesi psikoterapi dan kaunseling. Penyelidikan kajian yang berorientasikan bahan visual dalam art therapy boleh melangkau dari case based kepada art based (Gilroy, 2006). Penciptaan art dalam bentuk art based menjadi satu kaedah bagi mendapatkan data kajian yang kemudiannya dianalisa bagi mendapatkan kefahaman pengalaman permasalahan isu-isu psikososial klien.

Menerusi pendekatan penggunaan data visual dalam bentuk lukisan Schaverien (1992 &, 1993) dan Gilroy (2006) menegaskan analisis art klien boleh dilakukan menerusi empat kaedah. Pertama, analisis sistematik terhadap tanda, bentuk dan warna. Kedua, perubahan pada imej. Ketiga, rekod sesi terapi dan keempat, perbandingan pengalaman antara klien dengan terapis terhadap art yang dihasilkan dalam sesi psikoterapi dan / atau kaunseling.

Berdasarkan keempat-empat analisis data visual dalam bentuk lukisan dan lakaran Schaverien (1992 & 1993 dalam gilroy (2006) seterusnya mencadangkan lukisan dan lakaran klien dalam sesi art therapy boleh dihimpun dan digunakan dalam bentuk retrospektif. Menerusi kaedah retrospektif ini lukisan-lukisan klien memperlihatkan urutan imej art klien mengenai pergolakan kehidupannya.

Kaedah restrospektif ini menekankan aspek kronologi sebagaimana yang digunakan dalam tradisi bidang sejarah seni yang dikenali sebagai ekphrasis. Menerusi kaedah retrospektif atau ekphrasis, klien lafazkan secara lisan dan membuat tafsiran terhadap imej art yang tidak dapat diketahui oleh orang lain. Ringkasnya, proses ekphrasis ini melibatkan terjemahan dari visual ke lisan klien menerusi imej lukisan bagi mendapatkan kefahaman dunia dalam diri klien (Panofsky, 1972 dalam Gilroy, 2006).

bersambung/.....

Isnin, 16 Januari 2012

Emosi Dalam Empat Bahagian

Jiwa Tersentuh
Tatkala mendekatimu
Seperti mendekati diriku
Terasa bagai sebuah karya yang menarik dan menyeronokkan
Kusedar kini ku tak mahu lagi merantau
Kujuga sedar warna ungu yang membawa perasaan kehilangan
Setiap kali berpaling, ia menyentuh perasaanku
Sentuhan merupakan satu lagi cara menyemai keghairahan
walaupun banyak logamaya bak kisah cinta satu malam
Ada yang mungkin menjadi kenyataan
Cinta seumpama ini turun bak hujan
Hujan yang reda perlahan-lahan
Keseronokan pabila kuyup dan kegahirahannya tak mungkin berkekalan
Bagiku cinta adalah perasaan yang kacau
Ibarat memilih melepaskan rambutmu ke bahu dan mengikatnya
Seperti juga makna kecantikan yang kabur dan boleh berubah
Begitu juga sentimen kekata
Setiap kali terjaga, ku terpegun dengan pemandangan yang berlainan
Akanku terus menurut arus
Walaupun matamu yang jernih lembut tak berawan
Aku masih kebingungan dan tak mampu memahami diriku




Akur
Ada perkara yang tidak ingin kukhabarkan padamu
Tentang kesepian, satu-satunya kehangatan dalam tubuh kalbuku
Seperti kau merahsiakan rindumu kepada seseorang
Ia telah ditakdirkan
Bak hembusan angin dan lambaian dedaun
Bak cinta terpendam, terkadang membahagiakan, terkadang mengecewakan
Tanpa disedari, kita terserempak hanya sekali dan tidak lagi bertemu
Kau takkan memahami
Perasaan ala-kristal ini yang rapuh
Biarlah aku memendamnya
Walaupun tidak kuinginkan
Bagaikan semua dedaun di merata pergunungan menjadi usang dalam sekelip mata
Semua kecantikan dan keharuan
Menjadi saksi kepada perasaan
Hanya kesunyian tidak akan melukakan kawasan orang lain
Di sanubariku ada sebatang sungai mengalir
Kusedari kehidupan yang telah pergi takkan kembali
Bagaimana dapatku suarakan penyesalanku


Perasaan Menakutkan
Mempamerkan kecantikan amat menakuitkan
Dalam jejak-jejak kekaburan
Dalam jarak ini
Aku memandangmu dari tepi jendela, dari kejauhan
Keindahan rahsiaku bagaikan cahaya cermin penuh syahdu
mendedahkan kegahirahan yang jelas atau terselindung
Bagaikan titisan air yang mengalir lesu
Bagaikan kesan riak lemah san jejari tajam
Bayangan lembaga di air
Perubahan warna-warni bebunga dan rumput
Semua ini adalah idaman sang manusia
Mungkin tiada yang layak atau sebaliknya
Kisah yang mudah diramalkan ini adalah satu perkahwinan rahsia
Melayang bagai asap
Menghilang sejurus disentuh
Ketenangan yang tak akan kembali
Hatiku disambar pandangmu
Kutahu pohon saga di luar jendela semakin membesar
Perlahan-lahan merapatkan jarak antara kita
Akur kecantikan mampu menimbulkan rasa takut
akur dalam kehidupa ini tentu ada tersilap.


Tanpa Niat
Awan yang berbeza datang dan pergi saban hari
Memikirkan hal duniawi umpama tulisan tanganku
Setiap ayat dan coretan boleh jadi jelas atau contengan
Dan mudah membocorkan rahsia
Atau mampu juga menyembunyikan segala perasaan tanpa meninggalkan bekas
Tiba-tiba aku didatangi rasa sedih dan takut
Semacam aku tertumpahkan segelas air di atas meja
Kekata di atas kerta tiba-tiba berubah menjadi tangisan
Ia satu penyeksaan zahir dan batin
Sesungguihnya kita semua berada di tanah gersang; tiada haluan
Tanpa menyedari angin gunung mendinginkan kita
Kurasakan mimpi ini adalah harapan yang terakhir
Ibarat sekuntum bunga kuning yang tiada hari esoknya
Di jalanan debu berterbangan, bersatu dan berpisah akan berlalu dan menjadi sejarah
Sukar dibayangkan ketidaktentuan hidup manusia
Umpama hujan lebat tengah malam tiba-tiba mencurah
Barangkali aku hanya mampu menyepi melayani mimpi ini
Memikirkan bentuk awan-gemawan esok hari
Segalanya keimanan dan ketentuan takdir

Emosi Dalam Empat Bahagian (Puisi asli dalam bahasa Mandarin)
oleh Toh Lam Huat,
dipetik daripada Antologi Puisi Malaysia & Singapura:
Dari Jendela Zaman Ini, hal:430
Compile by: Institut Terjemahan Negara Malaysia Kuala Lumpur
National Arts Council Singapore 
2010

Ahad, 15 Januari 2012

Lagu Puisi Jawa: Definisi

Biasanya puisi difahamkan sebagai suatu bentuk pengucapan yang istimewa susunan dan penghayatannya. Ia merupakan hasil seni sastera yang digubah dengan bahasa yang berbait-bait, punyai bentuk persajakan dan berirama (Sabaruddin Ahmad, 1960).

Ensiklopedia Indonesia mendefinisikan lagu sebagai suatu kesatuan muzik yang terdiri atas pelbagai nada yang disusun berturut-turut, setiap lagu ditentukan oleh panjang pendek dan tinggi rendahnya nada tersebut masing-masing, seterusnya iramanya memberi corak tertentu kepada sesuatu lagu. Puisi dikatakan berasal dari bahasa Yunani iaitu 'poie'sis'.

Pengertian puisi turut disamakan sebagai karangan berangkap yang bermaksud karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan atau sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang karangan demikian ini disebut 'puisi' (Za'ba.1965)

Gabungan antara kedua-dua definisi di atas mengenai lagu dan puisi menghasilkan adanya irama dalam puisi yang dibentuk oleh melodi dan metrum. Melodi ialah pergantian alun suara yang bertinggi rendah serta cepat lambat dan metrum ialah pergantian alun suara yang keras dan lembut (Sabaruddin Ahmad, 1960). Kesan bahasa puisi yang baik bukan sahaja dinikmati daripada pengucapan bunyi atau timbangan kadesa (cadensa) atau irama yang didengar, tetapi juga daripada gambaran yang dapat dibayangkan dalam akal fikiran kita (Mohd. Taib Osman, 1975).

Lagu puisi Jawa dalam masyarakat Jawa merupakan hasil budaya atau 'folkculture' yang dipersembahkan, disampaikan dan disebarkan dalam bentuk lisan, 'folklore.'

Ralph Linton menerangkan tentang konsep budaya yang ditulis oleh Carol R. Ember dan Melvin Ember dalam bukunya yang bertajuk Cultural Antropology bahawa:

Culture refers to the total way of life pf any society, not simply to those parts of this way which the society regards as higher or more diserable. Thus culture, when applied to our own way of life, has nothing to do with playing the piano or reading Browning. For the sosial scientish such activityes are simply elements within the totaly of our culture.

Setiap kelompok masyarakat mempunyai budayanya yang tersendiri. S. F. Nadel menjelaskan bahawa, a society is composed of people, the way they behave is their culture.

Hampir semua nyanyian daerah atau senandung rakyat, nyanyian-nyanyian yang mengiringi tarian, ungkapan-ungkapan dalam istiadat-istiadat sosial dan keagamaan, zikir yang dilagukan atau yang mengiringi perlakuan yang bersifat magis, dipersembahkan dan diabadikan dalam semua bentuk puisi. Biasanya puisi-puisi tradisi itu dapat dikelaskan dalam berbagai golongan termasuk ritual, lirik dan naratif.

Lagu Puisi Jawa yang dibincangkan di sini bererti puisi yang dilagukan atau ditembangkan. Puisi-puisi yang ditembangkan seperti dalam perwayangan selalunya diiringi dengan muzik atau alat bunyi-bunyian seperti bonang, gendang, gong, gongso, gamelan dan kompang (Samuri Hj. Adnan, 1990). Alat-alat muzik yang digunakan meliputi bunyi-bunyian yang dipukul, digesek dan ditiup seperti beduk, bende, beri, bonang, demong, gambang, ketok, gendang, gendir, gung, kepiang, kempul, kenong, keromong, kecer, ketipang, kecerek, rebab,saron, sekati, selentem, selompret, serunai, suling, celempung, celereng, cente pelok dan cente salendero dan juga serunen prajurit (Sutan Mohammd Zain).

 Drs Soesatyo Darnawi dalam buku karangannya, Pengantar Puisi Jawa membahagikan puisi Jawa kepada 11 jenis iaitu:

1. Tembang
Tembang atau sekar merupakan puisi Jawa utama. tembang terbahagi kepada tiga:
 i- Tembang macapat atau tembang cilik
ii- Tembang tengahan atau tembang dagelan
iii- Tembang gede atau kawi

2. Sajak Jawa
Mengarang sajak Jawa tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

3. Parikan
Parikan berasal dari perkataan 'rik' atau 'larik' yang bererti baris, menderetkan. Ia merupakan pantun dalam kesusasteraan Indonesia. Parikan telah tersebar sejak sekian lama digunakan untuk melukiskan perasaan asmara, lelucon dan sindiran serta lain-lain. Biasanya ia terdiri daripada dua, empat, enam atau lapan baris. Parikan juga disebut sebagai 'sampiran.'
Contoh parikan yang terdiri dari empat baris ialah:
    Wedang bubuk,
    Gula Jawa,
    Aja ngamuk,
    Enggal tuwa

Ertinya:
    Minum kopi,
    Gula Jawa,
    Jangan Marah
    Lekas tua.

4. Wangsalan
Wangsalan bermakna teka-teki atau dalam istilah Melayu ialah pantun teka-teki. Ia juga dikenali sebagai pengasah otak atau kiliran budi.

5. Prenesan
Prenesan dalam bahasa Jawa bermaksud melukiskan puji sanjung atau kekaguman kepada kecantikan, kebagusan, kehalusan budi pekerti, keindahan,kepahlawanan dan segala keindahan hidup di dunia ini.

6. Guritan
Guritan dapat disamakan dan tidak ubah seperti syair. Biasanya guritan berisi sindiran kepada masyarakat atau juga mengandungi unsur-unsur pendidikan.

7. Candrasangkala
Sejak zaman dahulu orang-orang Jawa akan membuat tanda atau simbol peringat atau kenangan pada suatu peristiwa penting dengan gambar dan susunan kata-kata tertentu sesuai dengan perkara yang terjadi. Candrasangkala yang memakai gambar disebut Candrasangkala memet dan candrasangkala yang mempergunakan susun kata disebut candrasangkala lamba. Peristiwa-peristiwa  penting yang sering dijadikan peringatan dengan  candrasangkala ialah:
i - Waktu mengarang buku, terdapat dalam baris-baris tembang pada permulaan atau akhir karangan.
ii- Mendirikan bangunan-bangunan penting.
iii- kejadian-kejadian penting di dalam sejarah.
iv. Kelahiran.
v- Perkahwinan.
vi- Kematian

8. Sandiasma
Sandiasma ialah nama pengarang yang disembunyikan dalam kalimat suatu tembang dilakukan dengan tujuan untuk tidak menonjolkan dirinya dalam masyarakat. 
     sandi = rahsia
     asma = nama

9. Panembrama
Panembrama ialah sutu puji doa yang digubah dalam bentuk tembang dan dinyanyikan. Ia bertujuan untuk merayakan suatu perayaan, perkahwinan dan peringatan lain. Biasanya panembrama diiringi dengan muzik gamelan. 

10. Suluk
Biasanya perkataan 'suluk' dihubungkan dengan mencari penyatuan dan hubungan antara manusia dengan Tuhan> Akan tetapi dalam pengertian puisi Jawa, suluk bermaksud perwayangan. Suluk dalam pertunjukan perwayangan ialah nyanyian yang diucapkan oleh dalang atau pengatur laku untuk memberi warna suasana dalam suatu adegan dalam pertunjukan wayang kulit.

11. Singir
Singir berasal dari perkataan 'syair' yang bererti perasaan. Singir merupakan sebuah hasil kesusasteraan jenis puisi dari pondok pesantren. Singir ditulis dalam bentuk kitab bahasa Jawa yang dihiasi dengan kata-kata dan tulisan Arab dan ditulis dalam bentuk huruf Arab-Jawa atau pegon.

Masyarakat Jawa pada zaman dahulu merupakan masyakarat tertutup, anak-anak gadis dan teruna tidak sebebas pergaulan seperti zaman sekarang. Jodoh pertemuan antara teruna dara ialah pada hari pernikahan mereka. Dari situlah timbulnya usikan atau sindiran kepada pengantin. Misalnya:
   Mbok manten lengkak-lengkok,
   Urang-urong mbasuh popok (Puan Seri Banun Binti Mansur)
Maksudnya:
   Pengantin perempuan lenggang-lenggok,
   Akhirnya kena basuh lampin.

Biasanya lagu-lagu puisi Jawa dinyanyikan selepas mengaji al-Quran (Haji Ansor Haji Ahmad). Tembang tersebut dicipta agar anak-anak yang mengaji tidak akan bosan dengan pengajian mereka dan mengharapkan semoga esok arau lusa mereka akan datang semula menyambung pengajian al-Quran. Dongengan serta cerita-cerita lama juga turut diperdengarkan sebagai nasihat dan pengajaran untuk mereka.

Biasanya tembangan untuk mendodoikan anak kecil berupa parikan-parikan nasihat dan sekiranya ibu atau bapa tersebut biasa mendengar lagu-lagu dalam wayang kulit, mereka akan mendodoi anak mereka dengan lagu-lagu sedemikian.

Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik : Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91

bersambung/.....

Sabtu, 14 Januari 2012

Art Therapy : Kajian-Kajian Art Therapy

Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Tempat          :     Sanbay Hotel Sandakan
Tarikh           :      1November 2011
Penceramah  :      Prof. Madya Mohd. Makzan Musa 
                           Jabatan Siswazah Psikologi & Kaunseling
                            Kolej Sastera dan Sains
                            Universiti Utara Malaysia

Kajian-Kajian Art Therapy

Kajian meluas yang dilakukan oleh Rubin (2005) memperlihatkan art therapy digunakan dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak, keluarga dalam pelbagai teknik dan bahantara yang dikategorikan sebagai Artful Therapy. Keragaman penerapan art therapy di gunakan dalam kalangan kanak-kanak autism, kecelaruan Attention-Deficit/Hyperaktivity, kanak-kanak mangsa penderaan seksual, remaja dan kemurungan (Rubin, 2003). Dalam kalangan kelompok dewasa kajian-kajian telah menunjukkan bagaimana kaedah art therapy digunakan dalam rawatan penagihan penyakit pental dan dalam kalangan warga emas (Malchioldi,2003). Pendekatan art therapy turut digunakan dalam kalangan mereka yang mengidap penyakit melarat seperti barah (Waller & Sibbett, 2004) serta meredakan simptom penyakit HIV/AIDS (Rao et al., 2009). Kalmowitz & Llyod (2005), Papadopoulous (2005a), Kalin & Murphy (2005b), Mc Geehen (2005c) dan Nabarra (2005d) menggunakan pendekatan art therapy sebagai kaedah memulih dari trauma dalam kalangan mangsa perang dan mereka yang hidup di zon peperangan dan pergolakan politik.

Art therapist yang terlatih dan bertauliah (yang belum ada di Malaysia) yang menggunakan art dalam proses bantuan menolong, pendekatan art therapy turut boleh digunakan, diaplikasikan oleh kaunselor, pekerja sosial, play therapist, terapis keluarga dan perkahwinan, psikologis dan psikiatri. Aktiviti melukis dan media ekspresif lain boleh digunakan dalam membuat asesmen dan rawatan kepada pelbagai klien dari pelbagai latar belakang.

Kelebihan pendekatan art therapy dilihat bagaimana ia membolehkan luahan perasaan dan pemikiran dilakukan dalam tatacara yang kurang mengancam, tidak mengganggu berbanding diluahkan secara lisan. Lantaran kaedah ini ada sens of safety yang tidak dapat dilakukan dengan pendekatan terapi atau kaunseling konvensional. Menerusi kaedah ini permaalahan psikososial yang melibatkan bauran perasaan, pemikiran berserta proses-proses tubuh dengan segala pengalaman klien dapat ditransformasikan kepada imej nyata melalui image making, image formation dan image creation.

Disebabkan kekangan masa untuk menjalani sesi terapi antara klien dengan terapis mahu pun kaunselor dalam jangkamasa lama, luahan art dalam bentuk lukisan di dapati membantu mempercepatkan klien meluahkan isu permasalahan psikososial lantas menyegerakan asesmen dan intervensi. Kelebihan malah kehebatan pendekatan art therapy dalam mengendalikan isu-isu psikososial melangkaui jangkaan umum betapa kaedah ini berada dalam kedudukan penting dalam proses bantuan menolong dengan penggunaan pelbagai bahantara, kaedah dan teknik (Azizah Abdullah, 2009).

bersambung/.....

Lagu Puisi Jawa: Pengenalan

Sebahagian besar pustaka kesusasteraan Jawa ditulis dalam bentuk puisi, hampir dapat dikatakan bahawa prosa (ganjaran Jawa), jarang digubah orang. Akan tetapi sejarah kesusasteraan Jawa terus berkembang, kehidupan kebudayaan pun terus pula berkembang (Soesatyo Darnawi: 1964).

Perkataan 'Jawa' biasanya dikaitkan dengan Indonesia, kerana dari Pulau Jawa itulah asal muasal orang-orang jawa yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan mereka pada abad ke 19 merupakan satu faktor sejarah yang membuktikan berkembangnya keturunan Jawa di Semenanjung Tanah Melayu terutama sekali di selangor, Johor, Perak dan beberapa daerah kecil di negeri-negeri Melayu pantai barat.

Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja untuk bermastautin sebagai satu komuniti atau rumpun Jawa melalui bahasa pertuturan, malahan adat istiadat dan cara hidup mereka turut diamalkan di negara ini.

Di Malaysia, hampir tidak ada perbicaraan ilmiah, saintifik dan menyeluruh terhadap puisi Jawa. Kemungkinan besar bidang ini tidak begitu menarik minat pengkaji puisi atau mungkin minat mereka lebih tertumpu kepada pengkajian puisi Melayu tradisional atau puisi yang sezaman. Di samping itu faktor rumpun Melayu yang merupakan masyarakat terbesar di negara ini boleh dijadikan alasan mengapa lagu puisi Jawa tidak mendapat tempat di hati mereka.
Puisi lama ialah sebahagian daripada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama ( Sutan Takdir Alisjahbana: 1971). Justeru itu alangkah tepat dan cocoknya andai penulis menulis begini:
'Lagu puisi Jawa adalah sebahagian daripada kebudayaan Jawa yang dipancarkan oleh masyarakat Jawa.'

Antara lain motif kajian Lagu puisi Jawa ini ialah untuk mencungkil dan memelihara serta mencatat budaya lisan orang-orang Jawa yang kurang diambil perhatian oleh para pengkaji dan peminat serta pencinta seni.

Alangkah sayang dan ruginya seandainya apa-apa bentuk budaya lisan Jawa samada puisi,dongengan yang berunsur nasihat, lelucon, keagamaan dan seumpamanya terbiar dan lama-kelamaan hilang pupus dan lenyap tanpa catatan dan pembelaan serta inisiatif pihak-pihak tertentu untuk dikoleksikan dalam sebuah hasil karangan kenang-kenangan. Akan hilang lenyaplah budaya berharga ini  kerana zaman tidak memandang lagibke arah rumpun bangsa yang membawa kenangan abadi dari Tanah Jawa.

Justeru itu kita tidak harus membiarkan puisi-puisi Jawa ini mati terkubur bersama jenazah generasi tua, akan tetapi kalau pun tidak diamalkan lagi biarlah ia menjadi kenangan atau memori untuk anak cucu serta keturunan mereka, di samping memperkayakan lagi harta puisi Melayu tradisional di Malaysia. Sewajarnya pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor Darul Ehsan mengambil inisiatif untuk membukukan hasil budaya lisan dalam apa jua bentuk samada daripada karya lisan masyarakat Melayu, Jawa atau Banjar kerana kesemua rumpun  ini berada di bawah satu bumbung bangsa di kepulauan Nusantara.

Orang yang menutup telinga terhadap puisi akan terpencil dari suatu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian manusia, pandangan perseorangan, sensitiviti yang menonjol; oleh itu upaya yang dituntut untuk memahami serta menghayati puisi menjadi sama pentingnya dengan upaya  yang dituntut oleh setiap bentuk kehidupan manusiawi lainnya (Henry Guntur Tarigan: 1984).

Puisi itu mengemukakan hidup dalam kehidupan (Abdul Rahman Kaeh: 1970). Beliau turut menyorot tanggapan Herman Hess bahawa: 'Dan tiap-tiap orang yang mendengar merasa dengan kemanisannya atau kesakitannya terhadap yang mereka kasihi atau mereka benci. Anak-anak berfikir tentang permainan mereka,  para remaja berfikir tentang kekasih mereka dan orang-orang tua berfikir tentang kematian mereka.'

Dipetik daripada:
Lagu Puisi Jawa Dalam Masyarakat Jawa
Penyelidik: Salami Simon
No. Matrik: 055163
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
Sessi 1990/91


bersambung /....

Isnin, 9 Januari 2012

Pamit - Selamat Tinggal

Ijinkan aku pergi
apa lagi yang engkau tangisi
semogalah penggantiku
dapat lebih mengerti hatimu


Memang berat kurasa
meninggalkan kasih yang kucinta
namun bagaimana lagi
semuanya harusku jalani


Selamat tinggal
kudoakan kau selalu bahagia
hanya pesanku
jangan lupa kirimkan kabarmu


Bila suatu hari
dia membuat kecewa di hati
batin ini takkan rela
mendengarmu hidup menderita


Sayang...
walau kebersamaan kita hanya sesaat
namun kau tetap bagian dari jiwaku
kuiringi kepergianmu dengan ikhlas hati
semoga kelak kita dapat bersatu lagi.


Broery Marantika







Lirik lagu ini sungguh menyentuh hati! Sesungguhnya perpisahan itu amat menyakitkan. Biar pun jauh di mata, tapi setiap saat ada di hati. Bercerai mati puas di hati namun bercerai hidup hanya mata yang mampu memandang! Bagaimana sukarnya untuk melepaskan orang yang tersayang sedangkan dia adalah sebahagian daripada jiwanya. Di hujung senikata lagu ini terselit pengharapan agar adanya pertemuan sekali lagi di antara mereka, namun mungkin sudah tentunya pertemuan itu berlaku di alam yang satu lagi!

Ahad, 8 Januari 2012

Kita Mainan Waktu

kau bermain dipasir
bagai anak ketam yang bebas
mendaki batu-batu berlumut
yang mengembalikan usia kecil
dan memutuskan jarak waktu yang jauh

pantai ini airnya bersih
kita tak boleh berlama di sini
matahari akan menghantar malam
dan alam bukan milik kita lagi
setelah diri dimiliki waktu

Baha Zain
Ogos 1974
Antologi Puisi Lukisan Zaman

Banyak makna tersirat di sebalik pemilihan diksi yang cukup puitis dalam 2 rangkap puisi di atas. Ia merupakan pesanan yang begitu sopan dengan bahasa yang lembut  halus namun seakan-akan satu bentuk sindiran terhadap tingkah laku manusia yang sering alpa dalam melewati rutin kehidupan harian. 

Melalui rangkap 1, Penyair membandingkan manusia yang leka sebagai anak ketam yang bebas bermain pasir dan mendaki batu-batu berlumut sehingga terlupa masa berlalu meninggalkan mereka dengan begitu pantas.

Melalui rangkap 2 pula, dengan nada sinis penyair mengingatkan bahawa usia manusia akan berlalu dan tidak boleh berpatah balik dari usia tua kembali kepada usia muda. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan unsur personifikasi iaitu "matahari akan menghantar malam" sebagai mengingatkan perubahan waktu terus akan berlaku.

Berdasarkan latar pada masa kini dan masa silam, penyajak ingin menyampaikan pesanan kepada manusia supaya bijak mengisi waktu dengan perkara yang berfaedah, di samping tidak melengah-lengahkan atau membuang waktu. Sesungguhnya waktu akan terus berlalu tanpa menunggu kita kerana kita tidak memiliki waktu sebaliknya "diri dimiliki waktu".

Sabtu, 7 Januari 2012

Yesterday, When I Was Young


"It seems the love I've known, 
has always been the most destructive kind.
I guess that's why now, 
feel so old before my time." 

Yesterday, when I was young, 
The taste of life was sweet, as rain upon my tongue, 
teased at life, as if it were a foolish game, 
The way the evening breeze may tease a candle flame 
The thousand dreams I dreamed, the splendid things I planned, 
I always built, alas, on weak and shifting sand, 
I lived by night, and shunned the naked light of day, 
And only now, I see, how the years ran away 

Yesterday, when I was young, 
So many happy songs were waiting to be sung, 
So many wild pleasures lay in store for me, 
And so much pain, my dazzled eyes refused to see 
I ran so fast that time, and youth at last ran out, 
I never stopped to think, what life, was all about, 
And every conversation, I can now recall, 
Concerned itself with me, and nothing else at all 

Yesterday, the moon was blue, 
And every crazy day, brought something new to do, 
I used my magic age, if it were a wand, 
And never saw the worst, and the emptiness beyond 

The game of love I played, with arrogance and pride, 
And every flame I lit, too quickly, quickly died, 
The friends I made, all seemed somehow to drift away, 
And only I am left, on stage to end the play 
There are so many songs in me, that won't be sung, 
I feel the bitter taste, of tears upon my tongue, 
The time has come for me to pay, 
For yesterday, when I was young.

Roy Clark

Cerita Ombak Kepada Pantai





Tatkala bayu mengelus tabir lenaku
riak beralun menari di permukaan
membangkitkan aku dari peraduan
bagaikan pecahan kaca keperakan di lautan tenang
terserak menyerlah biru membelah dada samudera.

Tatkala angin baratan meniup lamunan
akulah ombak tinggi menjulang
dihembus kencang lalu bergulung pintal memintal
merentas jurang dalam
merabung setiap permatang
melewati lembangan penuh gelora
melintas gagah Lautan Atlantik
mengharung megah Lembangan Pasifik
sesekali mengganas di tengah segara
akulah badai menggila
beriring gelombang di laut janggawari
memamah menelan segala yang menghampiri.

Tatkala angin timur menyongsong ke tepi
terdamparlah aku menyusur pecah
bertaburan di sisimu
rebah menyerah di pesisir berpasir.

Pantai:
saat aku menyentuh kakimu
kau menjadi lebih indah
sedang aku
sekadar menjadi busa yang lemah tiada maya
terus hilang tanpa kesan! 

Salami Simon
Daily Express
05 0ktober 2003

Khamis, 5 Januari 2012

Jepun Masa Kini

Tajuk: Jepun Masa Kini
Penulis : Duncan McCargo
Penterjemah : Ruslan Zainuddin
Penerbit : Universiti Utara Malaysia 2008


Sekiranya anda ingin mengetahui tentang masyarakat Jepun, buku ini amat sesuai sebagai pilihan bacaan anda. Pengarang memperkenalkan dengan sejelas-jelasnya semua aspek politik, ekonomi dan kehidupan sosial di Jepun menurut konteks sejarah.


Pengarang menggambarkan Jepun sebagai sebuah negara dengan masyarakat yang unik dan menyamakan negara ini dengan negara demokrasi lain yang maju. Latar belakang sejarah yang disentuh merangkumi Zaman Tokugawa (1603-1868), Zaman Meiji (1868-1912), Demokrasi Taisho, Imperialisme, serta pendudukan Amerika. Banyak perubahan negara termaju di Asia ini dikupas dengan lebih mendalam oleh pengarang. Pengetahuan sejarah tentang negara Jepun anda hampir lengkap sekiranya anda berminat untuk membaca buku ini. 

"Orang Jepun gemar mendakwa bahawa mereka makan semua yang dihasilkan oleh laut, daripada daging ikan paus, ikan, udang dan kerang kepada rumpai laut. Makanan Jepun yang biasa mengandungi nasi, sayur-sayuran dan ikan. Tidak seperti makanan Asia yang lain, makanan Jepun tidak berempah tetapi dihidangkan bersama dengan sos dan jeruk. Dalam penyajiann mekanan tumpuan utama diberikan kepada kesan visual bagi makanan yang dihidangkan dengan cantik. Berbanding dengan kebanyakan makanan orang Cina Asia Tenggara yang dihidangkan secara serentak dengan pelbagai juadah diletakkan di tengah-tengah meja, makanan Jepun disediakan secara berasingan, dan biasanya dihidangkan dalam bekas berkilat atau pinggan seramik."

Petikan hal 11: Jepun Masa Kini

Aduhai Peningnya

Sempena Jubli Emas MPSM (Majlis Pengetua Sekolah Menengah), Cawangan Melaka, lahirlah antologi cerpen Aduhai Peningnya hasil nukilan Pengetua, Guru Penolong Kanan, Guru Cemerlang dan guru-guru di negeri Melaka. Aduhai Peningnya menterjemah usaha mentransformasikan bidang pendidikan kepada tahap lebih tinggi dan berkualiti. Nukilan yang terhasil memaparkan tuntutan agar pengetua dan guru memperlengkapkan pengetahuan dan kemahiran secara holistik, bersiofat kritis, kreatif dan inovatif


Nukilan yang dihasilkan turut memuatkan budaya mengurus pendidikan di sekolah, hubungan kepimpinan sekolah dengan guru, dengan pelajar, ibu bapa dan masyarakat dalam merealisasikan tanggungjawab mendidik yang terikat dengan pekeliling ikhtisas untuk dijadikan model perkongsian bestari.

Dengan kata lain, ketidaksamaan lokasi dan latar belakang sosiobudaya warganya, memungkinkan wujudnya konflik dalam pengurusan dan pendidikan di sekolah. Sedikit sebanyak dengan membaca antologi Aduhai Peningnya dapat memantapkan lagi kefahaman pengetua dan guru dalam menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat keputusan yang tepat dalam pengurusan dan pendidikan di sekolah demi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu?

Tajuk: Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu
Penulis : Ainon Mohd & Abdullah Hassan
Penerbit : PTS 2005

Sudahkah anda membaca buku Siri Minda Kreatif bertajuk Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu? Buku yang sungguh memberi manfaat ini turut menimbulkan persoalan tentang benarkah ada perbezaan kreativiti antara minda Barat dan minda Jepun. Hasil tulisan Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan ini turut mengupas tentang bagaimana kreativiti merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan dikembangkan. Pelbagai teknik berfikir secara kreatif yang popular digunakan di Barat dan Jepun turut diketengahkan dengan memberi banyak contoh idea yang terbukti berjaya dalam pasaran. Selain itu, pengarang turut menerangkan cara-cara sesebuah organisasi dapat memupuk dan mengurus bakat kreatif dalam kalangan kaitangannya.


Isi buku ini terbahagi kepada 8 bahagian yang merangkumi:
i. Teknik-teknik Berfikir Kreatif
ii. Kreativiti Jepun
iii. Mencipta Inovasi
iv. Harta Kreatif
v. Mengurus Kreativiti
vi. Risiko dan Kesilapan
vii.Peribadi Kreatif
viii. Epilog

Menurut pengarang buku ini, orang yang pandai berfikir mempunyai pelbagai keupayaan yang tidak dimiliki oleh individu-individu yang hanya pandai belajar dan pandai menjawab soalan peperiksaan. Buku ini juga turut menyentuh tentang kepandaian individu menggunakan daya kreativitinya untuk menyelesaikan masalah dengan cara dan pendekatan yang lebih mudah, murah, cepat dan selamat serta pandai mencipta idea-idea dan konsep-konsep baru bagi menangani isu-isu dan masalah-masalah lama.

Banyak bahagian yang menarik dapat kita kongsi bersama sekiranya anda membaca buku ini. Misalnya pada Bahagian I, yang menyentuh berkaitan Teknik-Teknik Berfikir, antara contoh-contoh individu yang kreatif termasuklah:

- Alessandro Volta yang mendapat ilham mencipta bateri elektrik pada tahun 1799 semasa sedang cuba mencari penjelasan mengapa apabila katak dibedah, kakinya bergerak apabila disentuh dengan logam tersebut.

- Rene Leance mendapat ilham bagi mencipta alat stetoskop kerana melihat sekumpulan kanak-kanak bermain dengan papan untuk mendengar bunyi pin-pin jatuh di hujungnya.

-Arkitek-arkitek tentera laut Amerika yang mengkaji pergerakan badanb kapal semasa bergerak di laut mendapat ilham dengan mengkaji pergerakan ikan lumba-lumba.

Sesuatu yang boleh kita renungkan bersama dalam Bahagian VIII - Epilog ialah pengarang menuliskan : Kaya Ilmu Tetapi Miskin Idea. Ilmu dan idea adalah dua perkara yang berlainan. Yang satu daun, satu lagi buahnya.

Isnin, 2 Januari 2012

Sejarah Perkembangan Bidang Art Therapy

Sejarah perkembangan pendekatan art therapy dimulakan oleh Sigmund Freud dan Carl Jung, sebagai dua tokoh utama yang mengasaskan depth psychology di mana kedua-duanya begitu dominan dalam bidang sains tingkah laku atau psikologi. Kedua-duanya menekankan peranan bawah sedar, separa sedar dan simbol-simbol yang ada di persekitaran saling mempengaruhi tingkah laku manusia.

Freud yang memulakan era talk-therapy mengutarakan betapa kreativiti dan proses kreatif sama ada secara sedar, separa sedar dan bawah sedar dapat menghalang dari berlakunya gangguan atau kecelaruan mental seperti psikosis dan neurosis (McNiff, 1998). Bagaimanapun penjelasan Freud mengenai kreativiti dan hubungannya dengan gangguan mental berhenti di situ sahaja. Usaha ini diteruskan oleh Naumberg, juga seorang tokoh psikoanalisa. Beliau telah melangkaui pendekatan asas Freud dari talk therapy kepada art therapy. Naumberg melihat ekspresi visual atau luahan melalui perantaraan art sebagai satu cara untuk menzahirkan pengalaman-pengalaman bawah sedar seperti mimpi dan bayangan minda. Bagi Naumberg art therapy, ia adalah suatu bentuk ekspresi semulajadi dan sebagai komunikasi simbolik (Rubin, 1999).

Naumberg menjelaskan pendekatan art therapy hampir sama atau lebih baik dari terapi lisan kerana ia membolehkan apa yang terpendam diluahkan. Bagi Naumberg proses art therapy bertolak dari kepercayaan bahawa pemikiran dan perasaan manusia dipengaruhi secara bawah sedar. Naumberg menegaskan, kandungan pemikiran bawah sedar lengkap terbentuk untuk diluahkan dalam bentuk imej dan bukan secara lisan (Hintz, 2009). Aspek imageri simbolk, lafaz lisan dan sesi art therapy menyediakan ruang untukpemulihan. Dengan mencipta art ia adalah sebagai sebahagian daripada proses teraputik di mana maksud simbolik kesan daripada menghasilkan imej art dapat difahami.

Kramer (1971) dalam Rubin (1999) tokok psikoanalisa selepas Naumberg meluaskan kepercayaan dankefahaman psikologikal bahawa proses psikik bawah sedar dari pengalaman mencipta art bukan sekadar sebagai komunikasi visual simbolik tetapi kreativiti adalah asas dalam proses art therapy. Tindakan mencipta imej, produk artistik  melibatkan proses penyaluran, saringan, dan transformasi pengalaman dalam diri yang boleh dilakukan menerusi sublimasi,intergrasi dan sintesis. Walaupun ekspresi atau luahan art tidak secara langsung menyelesaikan konflik tetapi ia memberi ruang di mana perasaan berupata diluahkan dari dalam diri. Gagasan Kramer lebih mendalam dalam proses art therapy berbanding dengan Naumberg yang lebih tertumpu kepada penghasilan imej atau produk art.

Jung pada mulanya bersama reud tetapi kemudian beralih arah dengan mengasaskan psikologi analitik menerusi gagasan Imaginasi Aktif dan simbol adalah sebahagian daripada pengalaman manusia. Konsep imaginasi aktif Jung beliau definisikan sebagai tumpuan terhadap fantasi yang merangsang penghasilan imej. Jung juga merujuk imaginasi aktif sebagai membayangkan dan terus membayangkan. Menerusi tatacara kaedah perkaitan bebas dari imej visual yang pada asalnya dialami dalam bentuk mimpi boleh muncul sama ada secara sedar atau bawah sedar menerusi ciptaan art. Teknik melukis, mewarna dengan kemunculan penciptaan pelbagai imej art, membantu klien menceritakan kisah secara visual dalam bentuk art yang dihasilkan. Penggunaan imaginasi aktif dengan penghasilan imej-imej dalam bentuk lukisan juga dirujuk sebagai image dialogue kesan dari proses menghasilkan imej atau gambaran visual dalam bentuk lukisan (Furth, 2002).

Perkaitan antara imej lukisan melalui imaginasi aktif bersifat spontan, tiada tapisan mahu pun saringan mencerminkan pelbagai pengalaman dan persepsi klien, pengaruh persekitaran dan pelbagai simbol yang adakalanya bersifat universal. Jung selanjutnya menyentuh imaginasi aktif turut melibatkan dunia universal mitos dan warisan budaya dalam sesuatu budaya yang beliau kategorikan sebagai collective unconscious dan arkitip merupakan kandungan kepada collective unconsious.

Sewaktu prose imaginasi aktif berlangsung terapis atau kaunselor bersama klien meneroka jauh ke dalam diri klien dengan melihat elemen-elemen collective unconscious yang melibatkan persona, anima, animus dan bayangan. Persona merujuk kepada wajah publik seharian yang kita bawa dan gunakan untuk melindungi diri sendiri. Anima dan animus mewakili aspek feminiti dan maskuliniti pada kedua-dua jantina. Kedua-dua aspek meskuliniti dan feminiti bersepadu dengan diri. Bayangan atau shadow mewakili pemikiran, perasaan dan tindakan yang tidak dapat didekati dan diketahui oleh orang lain. bayangan atau shadow ini adalah kejahatan atau keburukan diri sendiri atau siapa sahaja individu yang kita tidak sukai. Jung mempercayai bayangan atau shadow ini wujud dalam diri dan melalui imej-imej yang muncul dalam mimpi atau art seperti lukisan membolehkan klien mengakui kewujudan bayangan ini.

Matlamat imaginasi aktif bertujuan untuk membantu klien meneroka diri sendiri melalui imej dan metafora visual yang dicipta. Imej visual sebagai naratif personal atau kisah peribadi dapat meningkatkan kefahaman untuk mendapatkan wawasan diri. Namun usaha untuk memahami imej dan metafora visual yang muncul dalam bentuk art secara visual kesan daripada imaginasi aktif mempunyai maksud, makna dan interpretasinya dipengaruhi oleh ciri-ciri personal klien yang hidup dalam sesuatu budaya.

Sumber: Bengkel Aplikasi Art Dalam Kaunseling / Therapy
Penceramah: Prof. Madya Mohd. Makzan Musa
Sanbay Hotel, Sandakan.
1 November 2011
bersambung/....