Ahad, 8 Januari 2012

Kita Mainan Waktu

kau bermain dipasir
bagai anak ketam yang bebas
mendaki batu-batu berlumut
yang mengembalikan usia kecil
dan memutuskan jarak waktu yang jauh

pantai ini airnya bersih
kita tak boleh berlama di sini
matahari akan menghantar malam
dan alam bukan milik kita lagi
setelah diri dimiliki waktu

Baha Zain
Ogos 1974
Antologi Puisi Lukisan Zaman

Banyak makna tersirat di sebalik pemilihan diksi yang cukup puitis dalam 2 rangkap puisi di atas. Ia merupakan pesanan yang begitu sopan dengan bahasa yang lembut  halus namun seakan-akan satu bentuk sindiran terhadap tingkah laku manusia yang sering alpa dalam melewati rutin kehidupan harian. 

Melalui rangkap 1, Penyair membandingkan manusia yang leka sebagai anak ketam yang bebas bermain pasir dan mendaki batu-batu berlumut sehingga terlupa masa berlalu meninggalkan mereka dengan begitu pantas.

Melalui rangkap 2 pula, dengan nada sinis penyair mengingatkan bahawa usia manusia akan berlalu dan tidak boleh berpatah balik dari usia tua kembali kepada usia muda. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan unsur personifikasi iaitu "matahari akan menghantar malam" sebagai mengingatkan perubahan waktu terus akan berlaku.

Berdasarkan latar pada masa kini dan masa silam, penyajak ingin menyampaikan pesanan kepada manusia supaya bijak mengisi waktu dengan perkara yang berfaedah, di samping tidak melengah-lengahkan atau membuang waktu. Sesungguhnya waktu akan terus berlalu tanpa menunggu kita kerana kita tidak memiliki waktu sebaliknya "diri dimiliki waktu".

1 ulasan:

K.A. berkata...

Patutlah minat. Memang indah. :)