Tajuk: Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu
Penulis : Ainon Mohd & Abdullah Hassan
Penerbit : PTS 2005
Sudahkah anda membaca buku Siri Minda Kreatif bertajuk Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu? Buku yang sungguh memberi manfaat ini turut menimbulkan persoalan tentang benarkah ada perbezaan kreativiti antara minda Barat dan minda Jepun. Hasil tulisan Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan ini turut mengupas tentang bagaimana kreativiti merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan dikembangkan. Pelbagai teknik berfikir secara kreatif yang popular digunakan di Barat dan Jepun turut diketengahkan dengan memberi banyak contoh idea yang terbukti berjaya dalam pasaran. Selain itu, pengarang turut menerangkan cara-cara sesebuah organisasi dapat memupuk dan mengurus bakat kreatif dalam kalangan kaitangannya.
Isi buku ini terbahagi kepada 8 bahagian yang merangkumi:
i. Teknik-teknik Berfikir Kreatif
ii. Kreativiti Jepun
iii. Mencipta Inovasi
iv. Harta Kreatif
v. Mengurus Kreativiti
vi. Risiko dan Kesilapan
vii.Peribadi Kreatif
viii. Epilog
Menurut pengarang buku ini, orang yang pandai berfikir mempunyai pelbagai keupayaan yang tidak dimiliki oleh individu-individu yang hanya pandai belajar dan pandai menjawab soalan peperiksaan. Buku ini juga turut menyentuh tentang kepandaian individu menggunakan daya kreativitinya untuk menyelesaikan masalah dengan cara dan pendekatan yang lebih mudah, murah, cepat dan selamat serta pandai mencipta idea-idea dan konsep-konsep baru bagi menangani isu-isu dan masalah-masalah lama.
Banyak bahagian yang menarik dapat kita kongsi bersama sekiranya anda membaca buku ini. Misalnya pada Bahagian I, yang menyentuh berkaitan Teknik-Teknik Berfikir, antara contoh-contoh individu yang kreatif termasuklah:
- Alessandro Volta yang mendapat ilham mencipta bateri elektrik pada tahun 1799 semasa sedang cuba mencari penjelasan mengapa apabila katak dibedah, kakinya bergerak apabila disentuh dengan logam tersebut.
- Rene Leance mendapat ilham bagi mencipta alat stetoskop kerana melihat sekumpulan kanak-kanak bermain dengan papan untuk mendengar bunyi pin-pin jatuh di hujungnya.
-Arkitek-arkitek tentera laut Amerika yang mengkaji pergerakan badanb kapal semasa bergerak di laut mendapat ilham dengan mengkaji pergerakan ikan lumba-lumba.
Sesuatu yang boleh kita renungkan bersama dalam Bahagian VIII - Epilog ialah pengarang menuliskan : Kaya Ilmu Tetapi Miskin Idea. Ilmu dan idea adalah dua perkara yang berlainan. Yang satu daun, satu lagi buahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan